TAWAU: Seramai 61 lelaki warga asing yang memasuki negara ini sebagai pelancong ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan Operasi Mahir di Pulau Bum Bum dan Pulau Mataking dekat Semporna semalam.

Pengarah JIM Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata mereka ditahan dalam operasi berkenaan selepas disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di sektor pembinaan di Semporna.

Beliau berkata kesemua yang ditahan membabitkan seramai 36 warganegara China serta 25 warganegara Filipina berumur antara 19 hingga 64 tahun yang merupakan sebahagian daripada 95 individu diperiksa dalam operasi sehari bermula pukul 7.45 pagi dan berakhir pukul 3 petang.

"Mereka sepatutnya menjadi pelancong. Mereka memegang pas lawatan sosial untuk melancong. Kita mengesyaki mereka salah guna pas dengan bekerja di tapak pembinaan untuk membuat resort di perairan Semporna. Mereka sepatutnya pulang ke negara asal pada Mei tapi mereka tinggal lebih masa sehingga Ogos.

"Mereka ditahan atas kesalahan termasuk di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selain Peraturan 39(b) iaitu Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Tawau bagi siasatan dan tindakan lanjut," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sh Sitti Saleha berkata operasi dilakukan selepas menerima aduan awam berhubung warganegara asing yang bekerja di lokasi itu, dan JIM juga sedang mengesan majikan serta pemilik premis atau tanah berkenaan untuk siasatan di bawah Seksyen 55B, Seksyen 55E dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata siasatan sedang dilakukan berhubung dalang atau ejen yang menguruskan tahanan terbabit sehingga berani tinggal lebih masa di Sabah.

Sementara itu, Sh Sitti Saleha berkata JIM Sabah mengusir pulang 4,110 pendatang haram ke negara asal dan proses pemindahan seterusnya akan dilakukan pada 29 Ogos ini membabitkan tahanan warganegara Filipina ke Zamboanga melalui Sandakan.

"Dijangka 500 tahanan Filipina akan dihantar pulang ke negara asal, kita mohon Kedutaan Filipina memberi kerjasama dengan mempercepatkan urusan pengeluaran dokumen perjalanan agar penghantaran pulang warga mereka dapat disegerakan," katanya.

Sejak awal tahun hingga kini, beliau berkata seramai 2,405 tahanan Filipina serta 1,532 tahanan Indonesia dihantar pulang ke negara asal, manakala masih terdapat 5,907 tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen di Sabah ketika ini.

Di samping itu, Sh Sitti Saleha menyatakan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, lebih masa dan menyalahgunakan pas, begitu juga dengan majikan serta individu melindungi pendatang haram di negara ini.

Beliau turut menegaskan operasi seumpama itu akan diteruskan dan mengingatkan walaupun warganegara China serta India diberi kelonggaran bermula tahun ini sehingga 2026 untuk masuk ke Malaysia tanpa visa, namun itu terhad kepada tujuan melancong dan bukan untuk bekerja.

-- BERNAMA