SHAH ALAM: Polis mengesahkan menerima aduan daripada Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkenaan gambarnya yang disalahgunakan untuk tujuan iklan skim pelaburan saham palsu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata laporan tersebut diterima pihaknya kira-kira 2.45 petang tadi dan pengadu menafikan iklan tersebut yang dipaparkan di laman sosial Facebook melalui akaun All Star Investments.

Katanya iklan tersebut menawarkan skim pelaburan saham dan mendakwa pelaburan itu patuh syariah dan keuntungan yang lebih tinggi.

"Sehubungan itu, iklan tersebut adalah palsu dan tiada kaitan dengan Abdul Aziz dan laporan polis telah dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk siasatan terperinci," katanya dalam kenyataan hari ini.

Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan iklan di media sosial yang menggunakan imej individu penting bagi mendapat kepercayaan masyarakat dan diingatkan untuk membuat pelaburan di platform yang sah serta membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti di laman sesawang https://www.sc.com.my/investor-alert.

-- BERNAMA