Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan ada menghantar apa-apa surat sokongan kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat bagi mana-mana pihak, lapor The Malaysian Insider hari ini.

Penafian Hishammuddin itu telah bercanggah dengan kenyataan dari Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkenaan kontroversi surat kepada FBI mengenai status raja judi Paul Phua Wei Seng.

"Secara peribadi, saya tidak pernah menghantar sebarang surat sokongan," kata Hishammuddin kepada pemberita di Putrajaya pagi tadi.

Terdahulu pada 15 Januari, Ahmad Zahid membuat kenyataan bahawa pengeluaran surat sedemikian bukan isu kerana menteri-menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri) terdahulu juga ada menulis dan mengeluarkan surat penjelasan seumpama itu atas kapasiti menteri yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan.

"Menteri sebelum saya juga keluarkan surat penjelasan. Berdasarkan kuasa kepada menteri itulah saya menandatangani surat itu.

"Menteri dalam negeri sebelum saya juga mengeluarkan surat yang sama," kata Ahmad Zahid.

Dari 2009 hingga 2013, Hishammuddin telah memegang jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri sebelum memegang jawatan Menteri Pertahanan.

'DAP mahu polis siasat'

Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong DAP Gobind Singh Deo menyeru agar Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melakukan siasatan terhadap AHmad Zahid susulan kenyataan mengenai bantuan yang diberikan Paul Phua kepada Malaysia dalam soal keselamatan negara dan pembabitan dalam kumpulan kongsi gelap 14K Triad.

"Sama ada kesalahan dilakukan atau tidak, oleh sesiapa itu diputuskan kemudian. Namun, saya berpendapat demi kepentingan umum, siasatan perlu dilakukan segerea.

"Terpulang kepada Khalid untuk membuktikan beliau tidak takut dan melakukan tindakan sepatutnya untuk melindungi anak-anak buahnya berkenaan perkara itu," kata Gobind, dalam satu kenyataan pada Selasa.

Gobind menambah, tindakan Ahmad Zahid itu mungkin menyalahi Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Khalid perlu melakukan siasatan.

"Khalid tidak lagi boleh berdiam diri. Bekas KPN, Tun Hanif Omar dan Tan Sri Rahim Noor juga turut menyuarakan kebimbangan terhadap Ahmad Zahid kerana menulis surat berkenaan kepada FBI," kata Gobind.

Tambahnya, Khalid sebelum ini seringkali mengarahkan siasatan segera terhadap beberapa isu dan beliau perlu adil dalam isu ini dengan mengambil langkah yang sama.

"Beliau dilihat cepat mengarahkan siasatan, tindakan sama perlu dilakukan dalam isu ini," kata Gobind.

Pada 14 Januari, Ahmad Zahid telah memberi penjelasan kepada Kabinet mengenai pengutusan surat berkenaan kepada FBI di luar pengetahuan Kabinet.

Kata Ahmad Zahid, surat beliau kepada FBI itu bukan surat sokongan untuk tidak mendakwa Paul Phua yang sedang menghadapi pertuduhan di Amerika Syarikat.

Beliau berkata surat yang ditulis kepada Timbalan Pengarah FBI Mark F. Giuliano pada 18 Dis tahun lepas adalah untuk menjelaskan status Paul Phua.

Paul Phua serta anaknya, Darren Wai Kit Phua kini sedang dalam tahanan rumah di Amerika Syarikat dan menghadapi pertuduhan di mahkamah negara itu atas kesalahan penghantaran maklumat pertaruhan dan menjalankan kegiatan perjudian tidak sah di Las Vegas semasa Piala Dunia 2014 lalu.

Paul Phua yang cukup terkenal dalam sirkit permainan poker profesional, pernah mengambil bahagian dalam kejohanan Big One For One Drop dalam Siri Poker Dunia 2012.

Beliau menduduki tempat keenam dalam European Poker Tour Grand Final Monte Carlo‚ 100k Super High Roller 2014 dan dia juga disyaki terlibat dengan kegiatan kongsi gelap ‘14K Triad’.

Berikutan penahanan Paul Phua, firma guamannya, Chesnoff & Schonfeld memohon Ahmad Zahid agar mengeluarkan surat kepada Giuliano untuk mengesahkan yang lelaki itu bukan seorang ahli ‘14K Triad’ dan kumpulan kongsi gelap itu juga tidak wujud di Malaysia.

Ahmad Zahid berkata kes tersebut sedang dibicarakan di mahkamah AS, maka pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan yang akan mempengaruhi sebarang keputusan yang akan dibuat oleh mahkamah negara itu.