KUALA LUMPUR: Timbunan barang elektrik dan perabot yang rosak serta sampah-sarap, ada yang setinggi kereta sedan dan sejauh mata memandang, membawa ingatan penulis kepada bencana tsunami Asia pada 2004.
Namun pemandangan ini bukanlah akibat tsunami di luar negara, sebaliknya di depan jalan masuk ke Taman Sri Nanding di Hulu Langat, kira-kira 20 kilometer dari ibu negara, pada Sabtu lepas, iaitu seminggu selepas bah besar melanda daerah itu dan beberapa kawasan lain di Lembah Klang pada 18 Dis lalu.
Longgokan barangan rosak yang membukit di depan setiap rumah itu sedikit-sebanyak memberi bayangan tentang kerugian wang ringgit yang dialami mangsa, namun kebanyakan penduduk yang ditemui penulis menyatakan keredaan dengan musibah yang berlaku.
Tinggalan bah besar itu bukan sahaja sampah-sarap tetapi juga selut yang kini mengering dan menjadi debu di sepanjang jalan dan kawasan perumahan terjejas, bertebaran ke udara menyengat mata dan pernafasan setiap kali kenderaan lalu, khususnya lori pengangkut sampah roro yang sibuk "bekerja".
BUNTU LIHAT KEMUSNAHAN
"Keadaan sangat berdebu dan saya pula ada penyakit asma, tetapi terpaksa juga gagahkan diri kemas rumah sebab tidak mahu berterusan menumpang di rumah saudara," kata seorang mangsa, Saiful Bahari Mohd Bahsari yang ditemui Bernama di kawasan perumahan itu.
Sambil matanya melingas, Saiful Bahari mengakui kerja membersihkan kediamannya itu akan mengambil masa yang lama kerana "saya tidak tahu hendak bermula di mana."
Dia yang dilahirkan dan dibesarkan di situ, berkata sepanjang hayatnya selama 36 tahun, kejadian banjir besar 18 Dis itu adalah yang pertama dilaluinya.
"Sebelum ini banjir hanya paras lutut, tetapi kali ini lebih paras kepala orang dewasa dan kami memang keluar sehelai sepinggang untuk selamatkan diri disebabkan air terlalu deras dan naik dengan pantas," imbasnya.
Melihat pada longgokan kelengkapan rumah yang rosak, rakan penulis yang pernah bertugas di pantai timur dan biasa berdepan dengan bencana banjir, berkata dia sendiri terkejut dengan tahap kemusnahan yang berlaku di Taman Sri Nanding itu.
Ini kerana katanya keadaan itu amat jauh berbeza dengan situasi pascabanjir di negeri-negeri pantai timur yang sudah mangli dengan bah musim tengkujuh.
"Jelas penduduk di sini tidak bersedia langsung ketika bencana itu berlaku," kata Nur Firdaus Abdul Rahim, 38.
Taman Sri Nanding antara petempatan di Hulu Langat yang terjejas teruk dalam musibah itu dengan kira-kira 1,000 buah rumah setingkat tenggelam hingga paras bumbung.
Menyamakan bencana 18 Dis itu dengan tragedi banjir besar pada 1971, ribuan penduduk di Hulu Langat, Shah Alam dan serta beberapa kawasan di Kuala Lumpur dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, selain ribuan pengguna jalan raya termasuk di luar Lembah Klang, terkandas selepas banyak jalan ditenggelami air.
HIKMAH YANG TERSEMBUNYI
Ketika mengulas tentang kejadian, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui punca pihak berkuasa dilihat lambat bertindak ialah disebabkan tidak bersedia kerana bencana berlaku "di luar jangka".
Ringkasnya, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak, termasuk rakyat di negeri-negeri yang jarang dilanda banjir ketika musim tengkujuh, agar sentiasa berwaspada dan bersedia apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk.
Bagi Saiful Bahari, bencana itu memberi pengajaran kepadanya agar mengambil endah amaran hujan lebat yang dikeluarkan MetMalaysia serta maklumat tentang paras air sungai.
"Saya risau apabila dengar ada kemungkinan berlakunya gelombang kedua dan saya kini mula sedar pentingnya sentiasa memantau laporan MetMalaysia selain melihat laman sesawang JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) sebab kawasan kami dekat dengan Sungai Langat," katanya.
Sementara itu, MetMalaysia memberitahu Bernama bahawa susulan bencana tersebut, laman sesawang dan juga media sosial mereka menunjukkan peningkatan ketara dari segi kunjungan pelawat.
Jika sebelum bencana media sosial mereka seperti Facebook hanya mencatat 100,000 pelawat sehari, kini hampir sejuta pengunjung "singgah" untuk mendapatkan maklumat terkini tentang cuaca, sementara panggilan telefon daripada orang awam juga diterima tanpa henti.
Media sosial agensi berkaitan juga menampakkan perubahan ketara dalam sikap masyarakat yang kini lebih cakna tentang pentingnya persediaan awal bagi menghadapi kejadian luar jangka, sekalipun mereka menetap di luar zon bencana alam lazim.
Di laman Facebook Public Health Malaysia misalnya, netizen berkongsi tip tentang keperluan yang harus disediakan sebagai persiapan awal antaranya tilam angin.
KOMUNITI JAGA KOMUNITI
Bagi penjawat awam Ahmad Erwan Othman, 34, dia tidak menyangka Taman Casa Lagenda di Hulu Langat yang didiaminya sejak 2019 itu boleh dilanda banjir.
"Memang kami semua di sini relaks sebab langsung tidak sangka air boleh naik melepasi paras kepala orang dewasa kerana taman ini terletak agak tinggi. Malah, penduduk di taman perumahan berjiran di kawasan lebih rendah turut mengalihkan kenderaan mereka ke sini ketika banjir," ceritanya.
Katanya sepanjang hampir tiga tahun mendiami rumah teres dua tingkat itu, dia tidak pernah mengalami bencana banjir hinggalah 18 Dis lepas yang menyaksikan tingkat bawah rumahnya ditenggelami air.
Reda dengan apa yang berlaku, Ahmad Erwan berkata insiden itu bukan sahaja mengajarnya supaya tidak alpa tetapi juga memberi ruang kepada penduduk merapatkan silaturahim sesama jiran tetangga yang sebelum ini tidak pernah dikenali.
Malah katanya komuniti di situ juga bercadang membeli bot untuk kegunaan bersama sebagai persediaan menghadapi bencana serupa pada masa akan datang.
"Semasa kejadian, kami tidak dapat keluar dari taman ini kerana laluan terhalang disebabkan banyak kenderaan penduduk di taman berjiran yang diletakkan di kawasan kami dan kemudian berselerak akibat arus air deras.
"Apapun kami bersyukur kerana air tidak sampai ke tingkat atas rumah, membolehkan kami berlindung daripada bencana sementara menunggu bantuan tiba," katanya.
SEMUA PERLU MAINKAN PERANAN
Bencana yang dilihat sebagai antara impak perubahan iklim itu menuntut semua pihak memainkan peranan termasuk masyarakat, khususnya dalam usaha mewujudkan komuniti berdaya tahan ketika menghadapi musibah alam.
Apatah lagi ramai pakar, antaranya pakar klimatologi daripada Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Fredolin Tangang yang memberitahu Bernama bahawa kejadian cuaca ekstrem di Asia Tenggara termasuk Malaysia akan bertambah teruk pada masa akan datang.
Katanya di Malaysia, jumlah kejadian banjir meningkat sejak 20 tahun lepas dengan kerugian keseluruhan dianggar melebihi RM8 bilion.
Mengambil contoh Kuala Lumpur, kajian menunjukkan intensiti kejadian ribut petir dan hujan ekstrem meningkat sebanyak 30 peratus sejak 30 tahun lalu dan natijahnya adalah kejadian banjir yang semakin kerap.
Malah, Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata kesan perubahan iklim di negara ini dapat dilihat dengan ketara menerusi trend peningkatan suhu sejak dua dekad lepas..
Secara amnya, corak purata suhu tahunan di Malaysia bagi tempoh 1981 hingga 2020 meningkat pada kadar 0.02 darjah Celsius setahun, iaitu 0.2 darjah Celsius bagi setiap 10 tahun.
Mengulas mengenainya, pakar alam sekitar Prof Dr Hafizan Juahir berkata dengan mendedahkan komuniti kepada pengurusan bencana membolehkan mereka lebih bersedia, sekali gus mengurangkan risiko kerugian harta benda, selain mengelakkan kehilangan nyawa.
"Pihak keselamatan, walaupun dibekalkan peralatan dan kelengkapan yang canggih, mereka juga mempunyai keterbatasan terutama dari segi bilangan anggota yang amat mustahil untuk berada di semua kawasan terjejas pada masa yang sama.
"Malah, mungkin ada anggota keselamatan yang turut menjadi mangsa banjir, dan kerana itu masyarakat juga perlu diberikan kesedaran, latihan dan kemahiran dalam pengurusan risiko banjir yang mampan," katanya yang juga Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur, Universiti Sultan Zainal Abidin.
HARI BANJIR
Beliau percaya kesiapsiagaan menghadapi sebarang bencana alam dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan pantas sekiranya komuniti berdaya tahan bencana dapat diwujudkan di semua peringkat.
Ini kerana ahli komuniti lebih memahami selok-belok persekitaran tempat tinggal masing-masing berbanding anggota keselamatan yang datang dari luar, sekali gus membolehkan usaha menyelamat dapat dilakukan dengan pantas, jelasnya.
Selain itu, beliau berkata kesedaran tersebut juga haruslah merangkumi aspek penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar memandangkan bencana alam yang bertambah buruk kebelakangan ini turut berpunca daripada kerakusan manusia melaksanakan pembangunan tidak mampan.
Pensyarah kanan di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia Dr Mohd Yusoff Ishak pula berkata usaha meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam mendepani bencana perlu dilakukan secara berterusan, dan antara yang boleh dilakukan ialah mengadakan "Hari Banjir".
"Kesedaran mengenainya dalam kalangan komuniti perlu digiatkan, contohnya mewujudkan latihan banjir atau 'Hari Banjir' sebagai acara rasmi negara bagi mengisi Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) setiap Oktober.
"Usaha kesedaran bahaya kebakaran banyak dilakukan tetapi kita tidak pernah melaksanakan disaster drill seperti banjir dalam skala besar atau menyerupai situasi banjir sebenar," katanya.
Menurut Mohd Yusoff, menginstitusikan latihan banjir pada Hari Banjir di lapangan, menerusi amalan praktikal merupakan langkah terbaik bagi meningkatkan pemahaman serta kesedaran masyarakat mengenai bencana alam itu.
Ini kerana kesiapsiagaan bermula daripada individu dan menjadi tanggungjawab setiap individu kerana semua orang terdedah kepada risiko terperangkap dalam bencana, tegasnya.
-- BERNAMA
Bernama
Wed Dec 29 2021
Pekerja-pekerja meneruskan kerja-kerja pembersihan di kawasan yang dilanda banjir baru-baru ini ketika tinjauan di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, 28 Dis 2021. --fotoBERNAMA
Harga minyak naik didorong data pertumbuhan ekonomi AS
Harga minyak meningkat pada Selasa, disokong oleh data pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kukuh serta jangkaan bahawa aktiviti ekonomi global akan meningkatkan permintaan minyak.
Elak guna soket kelengkapan elektrik berlebihan
Orang ramai dinasihatkan tidak menggunakan soket dengan kelengkapan elektrik yang berlebihan atau beban yang tinggi.
Rampasan lebih 200kg dadah, terbesar di Terengganu
Polis Terengganu melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri itu dengan merampas lebih 200 kilogram syabu bernilai RM7.8 juta.
Kertas siasatan dibuka kematian kucing di Universiti Malaya
Polis membuka kertas siasatan berhubung kematian seekor kucing betina dikenali Lily, yang ditemukan dalam keadaan menyayat hati di Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.
Pejabat KDPB Sultan Pahang dinamakan sebagai Majlis Kesultanan Pahang
Dengan penukaran nama itu, satu lagi sejarah terlakar bagi institusi berkenaan yang berperanan memikul tanggungjawab dalam semua urusan membabitkan Sultan Pahang.
AWANI Borneo [24/12/2024] – Kes Bunuh ‘Amoi’ | ‘Hotspot’ Banjir | Sambutan Sederhana
Tumpuan AWANI Borneo 24 Dis 2024 bersama Pia Ernadya
- Pemandu e-hailing didakwa bunuh Nurul Asikin
- 18 lokasi 'hotspot' banjir dikenal pasti di Kuching
- Hari Krismas esok, ramai yang sambut di bandar
- Pemandu e-hailing didakwa bunuh Nurul Asikin
- 18 lokasi 'hotspot' banjir dikenal pasti di Kuching
- Hari Krismas esok, ramai yang sambut di bandar
Sambutan di Sibu sederhana, penduduk raikan bersama keluarga
Penduduk di Sibu sambut Krismas di bandar dan pulang kampung halaman ketika Gawai.
Selami nilai kasih sayang, kukuhkan semangat persaudaraan
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengajak rakyat Sarawak menyelami nilai kasih sayang bersama keluarga dan sahabat handai, memohon kemaafan serta mengukuhkan semangat persaudaraan yang tulus antara satu sama lain sempena sambutan Krismas.
Pengusaha bot penambang ambil langkah berjaga-jaga
Pengusaha atau pengendali bot penambang di daerah Sandakan sentiasa memastikan keselamatan penumpang terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini.
Pemandu e-hailing didakwa bunuh Nurul Asikin
Seorang pemandu e-hailing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita, Nurul Asikin Lan, yang mayatnya ditemui di dalam longkang di Jalan Setia Raja, Tabuan pada 14 Disember lepas.
Mindef kenal pasti 800 veteran ATM, anggota terjejas banjir
Kesemua veteran dan anggota berkenaan diberikan sumbangan wang tunai RM500 dan periuk nasi bagi meringankan beban mereka.
Penyampai berita Astro AWANI bersiaran dari Hulu Langat, selami realiti mangsa banjir
Penyampai berita Astro AWANI meninggalkan seketika set di studio dan bersiaran secara langsung dari Taman Sri Nanding, Hulu Langat.
Pascabanjir: "Memang terduduk rasanya kali ini" - Peniaga
Berat sungguh dugaan namun itulah realiti dihadapi peniaga di Taman Sri Nanding.
Banjir: Sayu lihat bayi 26 hari terperangkap atas bumbung surau - Penduduk Taman Sri Nanding
Hampir 100 penduduk di Taman Sri Nanding tumpang berlindung di atas bumbung surau ekoran banjir besar melanda sekelip mata.
Banjir: Peniaga buntu, alami kerugian ratusan ribu ringgit
Lebih menyedihkan, ada segelintir mereka yang mengakui sudah menyerah kalah dan buntuh melihat keadaan premis yang seolah-olah dipukul tsunami
Hikmah di sebalik bah 18 Disember
Longgokan barangan rosak yang membukit di depan setiap rumah memberi bayangan tentang kerugian yang dialami mangsa.
PM hadir program gotong-royong di Hulu Langat, dengar sendiri keluhan mangsa banjir
Beliau juga turut melihat dan mendekati sebahagian sukarelawan yang bertungkus lumus membersihkan rumah mangsa banjir.
Doakan Hulu Langat, usaha menyelamat sedang giat dijalankan
Antara kawasan yang teruk terjejas seperti yang tular di media sosial adalah Kampung Sungai Serai, Taman Sri Nanding dan persekitaran.
Banjir: 100 penduduk bermalam atas bumbung surau lebih 12 jam
Penduduk terpaksa menyelamatkan diri di atas bumbung surau berikutan air naik pada paras tertinggi.