HULU LANGAT: Seramai 800 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikenal pasti terjejas bencana banjir di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Beliau berkata kesemua veteran dan anggota berkenaan diberikan sumbangan wang tunai RM500 dan periuk nasi bagi meringankan beban mereka.

Selain itu, mereka turut menerima barangan keperluan harian antaranya berus gigi, sabun, beras, minyak, sardin dan lain-lain daripada sebuah syarikat.

"Mindef (Kementerian Pertahanan) satu-satunya kementerian yang mewujudkan satu jabatan khas iaitu Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) untuk menjaga kebajikan veteran ATM," katanya dalam sidang media di Taman Sri Nanding di sini, pada Selasa.

Ikmal Hisham berkata bantuan berkenaan adalah tambahan kepada bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan kepada mangsa-mangsa terjejas banjir.

Beliau berkata pihaknya akan mempergiatkan bantuan kepada veteran ATM yang terjejas banjir di bawah program Cakna Veteran ATM.

"Untuk hari ini, kami memberi fokus Taman Sri Nanding dan akan memastikan kesemua veteran ATM menerima bantuan.

"Insya-Allah, pada hari Jumaat ini saya akan ke Klang untuk membantu anggota veteran yang berada di sana," katanya.

Menurutnya, anggota veteran ATM yang terlibat dalam bencana banjir dan memerlukan bantuan boleh berhubung secara terus menerusi portal rasmi JHEV ATM di pautan https://www.jhev.gov.my.

Terdahulu, Ikmal Hisham melawat lima keluarga veteran ATM di sekitar Taman Sri Nanding, Hulu Langat dan memberi bantuan kepada mereka.

Sementara itu, veteran ATM Nordin Mohammad, 65, yang juga merupakan salah seorang penerima bantuan itu menzahirkan penghargaan atas keprihatinan dalam usaha memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"Saya rasa bangga dengan ATM, meskipun saya sudah 22 tahun bersara namun mereka masih menjaga kebajikan kami (veteran) semua," katanya.

Turut hadir Ketua Pengarah JHEV Mej Jen Datuk Dzulkarnain Ahmad.

-- BERNAMA