Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama membuka sesi plenari Kepemimpinan Yayasan Obama: Asia Pasifik 2019 hari ini dengan berkongsi kisah kehidupan beliau di Hawaii, Amerika Syarikat dan Indonesia.

Berkongsi pentas dengan adik tirinya, Dr Maya Soetoro-Ng, Obama berkata pengalaman membesar di kedua-dua negara itu telah mengajarnya erti lebih menghargai.

Misalnya kata Obama, perpindahan ke Indonesia pada 1967 membuka matanya bahawa dunia sebenarnya luas.

“Pertamanya, ia membuka mata anda bahawa dunia ini sebenarnya luas. Ia memberi pendedahan kepada saya bahawa rakyat perlu bergelut (untuk hidup) kerana ketika saya berpindah ke Indonesia pada 1967, Indonesia baru sahaja berdepan perubahan politik.

“Negara itu berada di bawah paras pembangunan, terdapat banyak kemiskinan (tetapi) banyak juga (sumber) kemewahan yang boleh dibangunkan oleh masyarakat,” katanya pada Jumaat.


Tambah Presiden ke-44 AS itu, republik yang mempunyai kepadatan penduduk 271 juta penduduk (2019) itu juga masih belum mengamalkan sistem demokrasi sepenuhnya menyebabkan segelintir pihak yang bimbang untuk meluahkan perasaan mereka.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak dilihat sebagai halangan untuk masyarakat merebut peluang untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Ia mengajar anda bahawa hakikatnya hidup tidak selalunya adil dan ia sebenarnya menyediakan banyak peluang dalam pelbagai cara.

"Setiap masyarakat di dunia perlu memastikan setiap kanak-kanak menerima peluang yang sepatutnya seperti pergi ke sekolah dan mendapatkan makanan yang secukupnya selain mendapat penjagaan kesihatan," katanya.

Obama berpindah ke Jakarta ketika berusia enam tahun selepas ibunya berpisah dengan bapa beliau dan berkahwin dengan seorang lelaki warga Indonesia.

Bagaimanapun, selepas perkahwinan kedua ibunya gagal, Obama kembali ke Hawaii dan tinggal bersama datuk dan neneknya.

Plenari hari terakhir bertajuk Sejauh Mana Asia Pasifik Membentuk Kita dihadiri lebih 200 pemimpin muda dari 33 buah negara dan wilayah dari Asia Tenggara.