GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli Pos Pulat di sini yang terlibat dengan pelaksanaan projek Hidroelektrik Nenggiri berharap penempatan baharu yang dibina untuk mereka siap mengikut jadual pada Mac 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pulat, Liman Ahong berkata 353 penduduk daripada 86 keluarga di kampung itu turut berharap segala kemudahan dan manfaat ekonomi di penempatan baharu itu sama seperti dijanjikan kepada mereka sebelum ini.

Beliau berkata mengikut perjanjian itu, setiap keluarga akan diberikan rumah tiga bilik seluas 750 kaki persegi di atas tanah seluas 0.2 hektar, tapak dusun (0.2 hektar) dan ladang getah (2.2 hektar), selain fasiliti awam seperti sekolah, tadika, balai rawatan, surau dan lot kedai akan disediakan.

"Penduduk memang dah tak sabar nak pindah. Walaupun kita dah lama tinggal di sini (Pos Pulat) tetapi kemudahan di kampung baharu lebih baik.

"Namun, kami berharap aspek penyelenggaraan juga dapat dijaga terutamanya dari segi kemudahan asas seperti jalan kerana sebelum ini walaupun ada jalan berturap, tetapi akhirnya rosak teruk," katanya kepada Bernama semasa ditemui di Pos Pulat, hari ini.

Terletak kira-kira satu jam 30 minit perjalanan dari bandar Gua Musang, Pos Pulat merupakan antara lima pos Orang Asli di Dewan Undangan Negeri(DUN) Nenggiri yang kini sedang berdepan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan hari mengundi ditetapkan pada 17 Ogos ini.

Liman berkata penempatan semula itu terletak di lokasi berdekatan kawasan asal penduduk dan dipilih sendiri oleh mereka bagi mengekalkan gaya hidup dan tradisi suku kaum Temiar.

Seorang penduduk Raman Awing, 70, berharap kemudahan asas seperti elektrik dan air di penempatan baharu itu lebih stabil berbanding di Pos Pulat yang sering mengalami gangguan bekalan.

"Kami harap pihak kerajaan juga akan bantu kami meningkatkan ekonomi di tempat baharu nanti dari segi bercucuk tanam macam padi dan ladang sebab itu tanah baharu," kata penoreh getah itu.

Mazlan Mohamed, 38, pula berkata walaupun sedih terpaksa meninggalkan Pos Pulat, namun penempatan baharu itu lebih tersusun dengan kemudahan infrastruktur yang lengkap.

"Walaupun yang baharu itu lebih baik, namun kenangan di kampung yang lama tetap terpahat di hati sebab tanah tumpah darahku," katanya sambil menambah Pos Pulat akan ditenggelamkan menjadi tasik takungan air untuk projek hidroelektrik berkenaan.

Ketua Jajahan Gua Musang Nik Raisnan Daud baru-baru ini dilaporkan berkata pembinaan penempatan semula seluas lebih 832 hektar untuk 249 Ketua Isi Rumah (KIR) dari Pos Pulat, Pos Tohoi dan Kg. Wias, sudah mencapai kemajuan hampir 25 peratus.

Kesemua mereka akan dibahagikan kepada dua kawasan iaitu Plot A melibatkan penduduk Orang Asli dari Pos Pulat dan Kg. Wias di Bukit Beringin, manakala bagi Plot B pula membabitkan penduduk Pos Tohoi di Kuala Yai.

Projek Hidroelektrik Nenggiri yang menelan kos RM5 bilion itu dijangka siap pada pertengahan 2027, akan membentuk Tasik Takungan Utama seluas 53.84 kilometer (km) persegi serta Kolam Pengaturan Aliran seluas 0.97 km persegi.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail daripada Perikatan Nasional.

PRK itu diadakan berikutan kekosongan kerusi selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

-- BERNAMA