Biarpun sudah berlaku beberapa tahun, namun kesan dan traumanya masih dirasai penduduk setempat terutamanya mereka yang kehilangan ahli keluarga dalam kejadian yang menyayat hati itu.
Tarikh 18 Ogos 2021 menjadi tarikh tidak boleh dilupakan oleh Fuziah Morad, 56, kerana kehilangan dua abang disayanginya disebabkan oleh tragedi tersebut.
Menurutnya, setiap kali langit gelap di sekitar Gunung Jerai, dia akan gelisah dan sebak terkenangkan insiden kepala air yang melibatkan keluarganya sendiri.
“Saya rasa tak percaya akan hilang dua orang abang akibat kejadian kepala air tersebut. Ketika kejadian pun saya berada dalam idah kerana suami baru meninggal dunia 12 hari.
"Sekitar jam 5.10 petang hari kejadian, penduduk kampung beritahu beberapa kebun buah-buahan termasuk kebun milik abang rosak teruk dibadai arus deras selepas hujan lebat bermula jam 4.30 petang sebelumnya.
"Saya hampir pengsan selepas beberapa minit kemudian menerima berita dua abang saya berserta pekerja mereka turut dikesan hilang dan dibawa arus manakala pihak polis, anggota bomba dan pasukan penyelamat lain telah berada di lokasi untuk melancarkan gerakan mencari dan menyelamat," katanya ketika ditemui di sini.
Abang sulungnya, Zainol Morad ditemui meninggal dunia pada usia 66 tahun di rumah dusun peninggalan arwah bapa mereka di Titi Hayun dekat sini yang musnah 'digulung' kepala air.
Abdullah Morad pula terselamat dalam tragedi berkenaan apabila ditemui tersangkut pada timbunan kayu iaitu kira-kira 20 meter dari jasad Zainol.
Bagaimanapun, selepas kejadian kepala air itu, keadaan fizikal Abdullah sudah tidak seperti biasa, mengalami trauma dan memerlukan bantuan kerusi roda dan tongkat untuk bergerak disebabkan terdapat urat kaki kirinya yang putus.
Anak ketiga daripada lima beradik itu kemudiannya meninggal dunia kira-kira enam bulan kemudian pada usia 56 tahun di kediamannya di Taman Murni, Alor Setar akibat jangkitan paru-paru selepas kesihatannya mulai merosot sebulan sebelum itu.
Lebih menyedihkan, Fuziah tidak dapat menziarahi Abdullah buat kali terakhir semasa abangnya meninggal dunia kerana perlu menjalani perintah kuarantin bersama ahli keluarga lain disebabkan pandemik COVID-19.
Cerita Fuziah lagi yang merupakan anak bongsu dalam keluarga berkata, pada pagi hari kejadian, Abdullah telah membeli ikan dan barangan di Alor Setar untuk dimasak dan dibawa ke dusun untuk makan bersama Zainol.
"Masih terbayang kelibat arwah abang sulung singgah untuk menziarahi saya di Kampung Permatang Keramat pada pagi hari kejadian sebelum sebelas jam kemudian dia ditemui meninggal dunia berdekatan kebun," katanya lagi.
Menurutnya, kedua-dua arwah abangnya sangat bertanggungjawab dan kehilangan mereka masih dirasai sehingga ke hari ini.
"Mereka suka pergi ke dusun kerana tinggal di rumah kawasan taman. Kawasan dusun bersih sebab mereka berdua sentiasa membersihkannya dan selepas tragedi kepala air, tiada siapa yang pergi mengusahakan dusun tersebut.
"Kami adik-beradik yang tinggal kini tiga perempuan, saya termasuk Zaini, 65, dan Harina, 58," ujarnya.
Sementara itu, Komander Pasukan Khas Must Team Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri Kedah, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, beliau masih terbayang melakukan operasi menyelamat mencari mangsa yang terperangkap lokasi kejadian kepala air itu.
Menurutnya, pasukan bomba menghadapi kesukaran melakukan pencarian disebabkan kawasan yang gelap dan penuh dengan batu besar serta pokok dihanyutkan air deras.
"Kami berjaya menemui satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kejadian itu, Abdullah di sebalik timbunan pokok pada malam kejadian manakala abangnya, Zainol ditemui telah meninggal dunia dalam keadaan dihimpit batu besar berdekatan kebun buah-buahan mereka.
"Keadaan muka bumi di kawasan bencana turut berubah sama sekali menyebabkan kami sukar untuk membawa peralatan menyelamat tetapi disebabkan tanggungjawab kita tetap bertungkus lumus dalam operasi terbabit," katanya. -Sinar Harian