KUALA LUMPUR: Duta Brazil ke Malaysia, Ary Quintella berkata, minat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan yang terdiri daripada beberapa negara dikenali sebagai BRICS adalah satu keputusan strategik dari segi ekonomi dan bukannya satu kenyataan politik.

Dalam satu temu bual di program Bernama TV "The Nation" baru-baru ini, duta itu menangani kebimbangan pemerhati Barat di Malaysia mengenai hasrat negara ini untuk menyertai BRICS, dan berkata bahawa keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai BRICS didorong oleh pertimbangan strategik ekonomi untuk negara ini.

"Apabila Perdana Menteri Malaysia mengumumkan bahawa beliau mahu Malaysia menyertai BRICS, beliau tidak membuat kenyataan politik. Beliau membuat keputusan ekonomi yang strategik," katanya.

Quintella menepis pandangan bahawa BRICS adalah kumpulan anti-Barat dan menekankan perspektif Brazil terhadap BRICS, dengan menyatakan bahawa ia terutamanya dilihat sebagai platform untuk kelebihan dalam ekonomi dan perdagangan.

"BRICS sama sekali tidak boleh dilihat sebagai kumpulan anti-Barat. Ia mempunyai Brazil, Afrika Selatan, India, kini Mesir, dan beberapa negara lain. Ia jelas tidak boleh dianggap sebagai anti-Barat.

Brazil tidak melihat BRICS sebagai kumpulan politik. Negara-negara mungkin mendapat manfaat politik daripada BRICS, dan itu tidak mengapa. Tetapi apa yang dilihat oleh Brazil dalam BRICS adalah terutamanya kelebihan ekonomi dan perdagangan," katanya.

Beliau berkata, Brazil sangat mengalu-alukan pencalonan Malaysia untuk menjadi ahli BRICS dan secara peribadi percaya Malaysia memenuhi semua syarat untuk menjadi ahli BRICS.

Semasa program itu, Quintella turut menyentuh mengenai pandangan bahawa keahlian dalam BRICS adalah penting untuk perdagangan antara negara anggota.

"Saya pernah ditanya oleh beberapa pemerhati Barat di sini, 'Adakah anda perlu berada dalam BRICS untuk berdagang dengan anggota BRICS lain?' Tidak, anda tidak perlu.

China sudah menjadi rakan dagang terbesar kami, dan ia akan tetap begitu walaupun China atau Brazil bukan ahli BRICS. Tetapi berada dalam kumpulan yang sama memudahkan dialog dan mempromosikan lebih banyak peluang untuk pertemuan serta pertukaran pendapat," katanya.

Beliau turut berkata, walaupun Malaysia belum menjadi anggota BRICS, ia berkongsi kebimbangan dengan negara-negara Selatan Global yang lain mengenai ketidaksamaan di peringkat antarabangsa.

"Saya percaya bahawa Presiden Lula (Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva) dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah dua suara lantang dari Selatan Global yang menyuarakan kebimbangan itu. Dunia sepatutnya menjadi tempat yang lebih adil, dan kebimbangan Selatan Global harus lebih didengar."

Beliau mengakhiri sesi itu dengan menyatakan harapan bahawa keahlian BRICS akan mengukuhkan suara Malaysia di arena antarabangsa.

"Saya percaya bahawa BRICS membantu dalam menjadikan suara anda lebih didengar. Menjadi ahli BRICS membuatkan anda lebih mampu menyampaikan pandangan anda dengan lebih berkesan," katanya.
- BERNAMA