Tidak salah rasanya jika kita mengandaikan ibu kota Kuala Lumpur ini sudah setanding dengan bandar-bandar besar lain di seluruh dunia.

Bandar yang lahir dari sebuah kawasan kecil perlombongan bijih timah pada 1857 kini dilihat menapak selangkah demi selangkah sehingga ada anak-anak muda yang lahir di ibu kota sekarang tidak pernah tahu tentang kesusahan warga sebelum ini dalam memajukan Kuala Lumpur.


Pemandangan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad pada awal tahun 1970-an - Sumber gambar kitamanusiakelana.blogspot.com

Bagaimana tidak, kiri, kanan dan setiap ruang ibu kota kini terisi dengan warna kemodenan dan keceriaan bangunan pencakar langit seperti Menara Berkembar Petronas, kesesakan pengangkutan awam yang pelbagai sehingga menjadi salah satu mimpi indah buat saudagar-saudagar yang mahu mengembangkan pelaburan di ibu negara Malaysia ini.

Ia tidak termasuk keceriaan pasar 'downtown', 'uptown', Kampung Baru untuk suasana orang asli Melayu, Little India dan China Town yang tidak pernah tahu erti tidur dan sentiasa meriah dengan lampu berwarna warni pada sebelah malam.

Umum sedia tahu pada 1 Februari tahun ini, maka genaplah sudah 41 tahun usianya Kuala Lumpur diwartakan sebagai Wilayah Persekutuan.

Bandaraya ini ditadbir oleh Datuk Bandar yang menjalankan pentadbirannya melalui peruntukan yang terkandung di dalam Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Di dalam peruntukan seksyen 4 (2), Pelantikan Datuk Bandar, Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, Datuk Bandar yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong boleh mentadbir ibu kota Kuala Lumpur selama tempoh 5 tahun.

Ketika bertemu Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-10, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, jelas nampak kesungguhannya dalam memastikan usaha melihat kawasan 'pemerintahannya' ini bukan hanya mimpi di siang hari.

"Tidak lama lagi untuk Wawasan 2020, saya akui kita sedang bergerak seiring hasrat kerajaan untuk melihat Kuala Lumpur berada di liga bandar-bandar maju lain di seluruh dunia.

"Hasrat ini harus berada di dalam jiwa setiap warganya dan bukan hanya dilaung oleh agensi berkenaan sahaja. Ia seharusnya sudah diserap di dalam hati dan sanubari setiap warga kota sejak dari dahulu lagi," katanya.

Ahmad Phesal yang terkenal dengan pengenalan hari tanpa kenderaan di Kuala Lumpur pada setiap hari Ahad minggu pertama dan ketiga setiap bulan mengakui mahu melihat bandaraya ini sebuah lokasi yang lebih hijau pada masa hadapan.

Dia yang sering kelihatan turut berbasikal bersama warga kota pada hari-hari berkenaan turut mengakui aktiviti itu memang menyihatkan selain merapatkan perhubungan sesama masyarakat yang sibuk bekerja pada hari-hari yang lain.

"Kita memang sedang menyiapkan laluan basikal di sekeliling ibu kota selain sudah menyiapkan laluan pejalan kaki berbumbung di hampir seluruh kota.

"Kita juga mahu melihat warga kota dapat tinggal di lokasi bandaraya yang lebih berkualiti, selamat, mudah akses dan lebih ceria," jelasnya.



Pemandangan terkini di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad - Gambar fail

Ketika ditanya mengenai isu tikus yang dikatakan kononnya mencecah tujuh juta di Kuala Lumpur, Ahmad Phesal hanya tersenyum dan bertanya semula di mana asas angka itu diperolehi.

Tegasnya, anggota penguatkuasanya tidak pernah alpa daripada membuat pemeriksaan rutin terutama di kawasan perniagaan makanan dan kediaman untuk memastikan angka yang di sebut-sebut itu hanya omongan semata-mata.

"Bagaimana angka itu boleh diperolehi saya sendiri tidak tahu tetapi kita sentiasa memastikan ia tidak berlaku dengan pemeriksaan kerap dan penguatkuasaan kepada mana-mana premis yang dilihat tidak mengikut piawaian kebersihan.

"Seandainya ia berlaku (tujuh juta tikus di Kuala Lumpur), ia berpunca daripada sikap warga kota sendiri," katanya dalam nada sinis.

Meneruskan bicara, Ahmad Phesal berkata, tema 'Wilayahku Ceria' yang diambil tahun ini sebagai tanda prihatin mereka kepada warga kota selain simbol lebih dekat di hati masyarakat.

"Kita tetap menumpukan misi memenuhi permintaan warga kota yang mahu kediaman mampu milik, kita sentiasa mendengar keluh hati mereka terhadap keperluan ini.

"Kita sentiasa memberi keutamaan kepada penduduk kota dalam memastikan mereka mendapat manfaat dari setiap pembangunan yang dilakukan. Kita mahu mereka menjadi sebahagian daripada pusat perkembangan ekonomi, pendidikan dan kemajuan yang kita usahakan," ujarnya.



Kepesatan Kuala Lumpur menjadikannya bakal dinobat salah sebuah bandaraya maju menjelang tahun 2020 - Gambar fail

Kuala Lumpur ialah satu daripada tiga Wilayah Persekutuan di negara ini, dua lagi ialah Putrajaya dan Labuan.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ialah ibu negara dan bandar terbesar di Malaysia.

Ia tergolong dalam sebuah kawasan metropolitan besar yang turut meliputi sebahagian besar negeri Selangor, iaitu Lembah Klang selain merupakan kawasan metropolitan yang paling pesat membangun di negara dari segi bilangan penduduk dan ekonomi.

Kuala Lumpur juga merupakan tempat letaknya Parlimen Malaysia, dan juga pernah menjadi lokasi cabang eksekutif dan kehakiman kerajaan persekutuan yang kini bertapak di Putrajaya sejak tahun 1999.

Dan dari nyanyian lirik-lirik indah 'Kisah seorang biduan' daripada Dahlan Zainuddin sehingga 'Senyumlah Kuala Lumpur' oleh kumpulan Alleycats, ibu kota ini akan terus menjadi simbol keamanan, kesepakatan dan wajah sebenar masyarakat negara ini secara keseluruhannya.