BUKIT GANTANG: Kira-kira 200 buah bot nelayan mengambil bahagian di dalam pertandingan bot berhias di Sungai Kerang, Bukit Gantang sempena sambutan Hari Malaysia pada Jumaat.

Mereka berkorban tidak ke laut hari ini semata-mata untuk memeriahkan sambutan Hari Malaysia di samping menunjukkan semangat patriotisme masing-masing.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, idea mengadakan pertandingan itu kerana tidak mahu nelayan berasa terpinggir daripada sebarang aktiviti national.
 

"Sebanyak hampir 200 buah bot nelayan-nelayan kecil hias bot mereka dengan inisiatif sendiri, beli bendera luangkan masa hias bot mereka, mereka tak ke laut  dua tiga hari, ini lah pengorbanan yang dibuat oleh mereka untuk terlibat pada hari yang bersejarah ini, jadi kita dapat lihat acara ini sangat meriah," katanya.

Beliau ditemui dalam majlis sambutan Hari Malaysia dan penyerahan bantuan tong ikan berinsulasi kepada nelayan sempena Merdeka@Parlimen Tahun 2022 di Jeti Sungai Kerang, Sungai Tinggi, Bukit Gantang pada Jumaat.


Antara nelayan yang mengambil bahagian dalam perarakan di Perairan Kelubong ke Sungai Kerang dan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Kerang bagi meraikan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Parlimen Bukit Gantang hari ini. - Foto BERNAMA


Menurutnya, melihat kepada sambutan menggalakkan daripada masyarakat nelayan, beliau berhasrat mahu menjadikan program itu sebagai acara tahunan.

Dalam masa sama, katanya program itu juga akan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan daerah bagi membantu menambah pendapatan nelayan tempatan.


Antara nelayan yang mengambil bahagian dalam perarakan di Perairan Kelubong ke Sungai Kerang dan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Kerang bagi meraikan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Parlimen Bukit Gantang hari ini. - Foto BERNAMA