PUTRAJAYA: Tidak seperti kebiasaan, transit aliran massa (MRT) laluan Putrajaya hari ini dipenuhi suasana ceria pengguna pelbagai kaum yang teruja untuk ke acara kemuncak sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya.

Suasana berkenaan menurut seorang ahli perniagaan Arwin Gnanasegaran, 27, berbeza dengan keadaan setiap pagi dalam pengangkutan awam itu yang menjadi pilihan pengguna untuk ke destinasi masing-masing terutama ke tempat kerja.

"Saya selalu guna laluan ini untuk ke tempat kerja tetapi biasanya kita dapat lihat wajah-wajah pagi yang letih tetapi hari ini suasana berbeza, saya lihat keseronokan di wajah mereka (pengguna)," katanya yang turut bersemangat menyaksikan sambutan gilang-gemilang itu buat tahun kedua.

Penuntut universiti swasta Lee Wei Soon, 24, dan empat rakannya melahirkan rasa teruja menghadiri sambutan Hari Kebangsaan buat pertama kali.

"Biasanya, saya menonton di televisyen tetapi tahun ini saya dan rakan-rakan memutuskan untuk pergi ke Dataran Putrajaya dan menyaksikannya sendiri kerana kami dengar ia akan menjadi satu acara yang mengagumkan," katanya.

Perkhidmatan MRT beroperasi selama 24 jam pada 30 dan 31 Ogos bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan.

Selain itu, perkhidmatan teksi air turut menjadi mod pengangkutan pilihan untuk ke sambutan Hari Kebangsaan 2024 dengan orang ramai dilihat menunggu sejak awal pagi bagi merasai pengalaman menaiki bot yang merentasi Tasik Putrajaya dari tiga lokasi pelepasan iaitu di jeti Kelab Tasik Putrajaya, jeti Ayer@8 dan jeti Marina.

Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia Nurul Izaida Othman, 38, berkata pengalaman menaiki bot itu akan terpahat dalam memori dia dan anak-anak dalam merasai sendiri suasana sambutan Hari Kebangsaan.

Tidak ketinggalan menghadiri sambutan itu, Sofiyuddin Abdul Rashid, 34, dan keluarganya yang datang dari Seremban, Negeri Sembilan seawal 3 pagi.

Sofiyuddin menggunakan perkhidmatan bas perantara dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya untuk ke Dataran Putrajaya selepas mendapat maklumat mengenai kemudahan itu menerusi laman Facebook Perbadanan Putrajaya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati laluan pejalan kali sepanjang Persiaran Perdana dibanjiri orang awam tidak mengira tua dan muda termasuk yang berkerusi roda.

Turut kelihatan penjaja makanan dan minuman serta penjual aksesori kemerdekaan seperti tanjak merdeka dan pelekat muka yang mengambil peluang meningkatkan pendapatan pada hari istimewa ini.

-- BERNAMA