KUANTAN: Dalam usaha memperkasakan pembelajaran menggunakan teknologi digital di negara ini, kerajaan akan menyediakan tablet percuma kepada semua murid dan guru sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemberian tablet percuma itu akan dilakukan segera secara berfasa berdasarkan kepada peruntukan yang diterima.

Ahmad Zahid berkata walaupun 58.7 bilion telah diperuntukkan kepada KPM tahun ini, namun pada bajet tahun hadapan ia akan ditambah bagi pembelian perkakasan melaksanakan kaedah pembelajaran melalui sistem digital.

"Bermula dari tahun 2022 sehingga kini, ia telah memanfaatkan 11,220 sekolah di mana 213,014 unit komputer riba telah diserahkan.

"Sekali lagi saya akan berbincang bersama Perdana Menteri agar dana tambahan untuk pembekalan peranti ini dapat diluluskan," kata Ahmad Zahid.

Tablet percuma kepada murid dan guru

Menurut beliau, pemberian peranti berkenaan amat diperlukan dan penyediaan tablet tidak dapat dielakkan kerana pada masa ini sistem pembelajaran dan kaedah pengajaran serta pedagogi digital telah disediakan KPM.

Beliau menambah, dalam usaha memastikan Dasar Pendidikan Digital mencapai objektif yang digariskan, sebanyak 8,104 makmal komputer di sekolah perlu dinaik taraf agar mampu digunakan sepenuhnya oleh guru dan murid.

Justeru, beliau meminta pihak Kementerian Pendidikan memberikan keutamaan kepada perkara itu agar kerja dan peranan guru sebagai 'jauhari digital' seperti mana tema Hari Guru tahun ini dipermudahkan.

Sementara itu, mengenai kadar capaian internet di kawasan pedalaman pula, Ahmad Zahid yang juga menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, perbincangan berkaitan perkara itu sudah diadakan bersama Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Ujarnya, antara kawasan menjadi tumpuan ialah kawasan yang berpendudukan rendah, kawasan Felda, kampung-kampung tradisional dan pendalaman.

"Kita ada 5G, maka dalam hal ini kita akan terus membuat liputan atau coverage bagi kawasan-kawasan yang berpendudukan rendah, low density of population, agar dapat juga diberikan liputan terutama di kawasan Felda, di kawasan desa di bawah kawasan orang asli, dan di kawasan pedalaman wajib diberikan coverage yang secukupnya untuk murid-murid dan pelajar," kata Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid turut menjelaskan setakat ini kawasan berpendudukan tinggi mencatat 87.5 peratus capaian dan beliau yakin pada hujung tahun ini kawasan berpendudukan tinggi akan memperoleh hampir 99 peratus capaian.

Ahmad Zahid berkata demikian pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-53 di Dewan Pusat Konvensyen Sultan Ahmad Shah Kuantan pada Khamis.