ISKANDAR PUTERI: Syarikat-syarikat penerbangan serta pihak berkepentingan kini sedang memuktamadkan perbincangan berhubung kaedah atau langkah terbaik, bagi menurunkan kadar tambang tiket penerbangan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak, yang disifatkan meningkat, khususnya pada musim perayaan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata perbincangan itu yang melibatkan tiga syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), telahpun bermula Khamis lepas, dan dijangka dimuktamadkan pada bila-bila masa.

"Sebab kita melihat rungutan yang kita telah dengar. Pertama, kita menyemak kesahihan aduan tersebut secara spesifik. Kedua, kita minta syarikat penerbangan, hendak tak hendak, kena buat (turunkan harga tiket) kerana ia adalah aspirasi kerajaan untuk turunkan harga akan datang.

"Kita faham disebabkan peperangan, krisis antara Rusia dan Ukraine menyebabkan tambang, harga minyak meningkat secara mendadak. Tetapi kita juga perlu melihat dalam konteks Malaysia. Kita faham Sabah, Sarawak dan Semenanjung, mod pengangkutan yang ada cuma satu sahaja iaitu melalui penerbangan," katanya selepas majlis berbuka puasa bersama media di Forest City Golf Resort, di sini, malam tadi.

Justeru, Wee berkata satu laporan lengkap berhubung perbincangan itu akan dibuat dan disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Perdana Menteri sentiasa prihatin dan mengarahkan kepada saya supaya cari kaedah yang praktikal, apa sahaja cara sekali pun...jadi saya rasa kami rasa terpanggil untuk melihat formula-formula yang telah dicadangkan.

"Syarikat-syarikat penerbangan terpaksa mencari satu kaedah (sama ada) nak tambah frekuensi, cara bagaimana, macam mana nak cari pesawat...membatalkan penerbangan ke mana...semuanya harus dilihat secara total...perlukan penyelarasan yang baik dengan satu sama lain," katanya.

Menurutnya hasil daripada perbincangan itu kemudiannya akan diumumkan Perdana Menteri dalam dua tiga hari lagi.

Terdahulu, media melaporkan berdasarkan pemantauan terhadap laman web syarikat penerbangan komersial baru-baru ini menyaksikan tambang penerbangan melonjak sehingga RM2,000 (penerbangan pergi balik) iaitu peningkatan sekitar 566 peratus, menjelang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri (bagi tempoh 29 April hingga 8 Mei).

Mengulas mengenai tiket bas ekspres yang dikatakan juga meningkat bagi musim Aidilfitri ini, beliau berkata kerajaan tidak membenarkan mana-mana pengusaha bas ekspres, mengambil kesempatan dengan menaikkan harga tambang secara melampau khususnya pada musim perayaan.

Beliau berkata apa jua peningkatan sama ada harga atau frekuensi perjalanan, perlu dipohon kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebelum diserahkan kepada pihaknya untuk pertimbangan, yang kemudiannya akan membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira kepentingan semua pihak, khususnya pengguna.

"Kita faham bila musim perayaan biasanya kita izinkan kenaikan harga, tetapi tidaklah kepada satu angka yang bebankan rakyat, ini kerana pada setiap musim perayaan memang amalan biasa kenaikan sehingga 10 peratus daripada harga asal.

"Kita sedar apa yang dilalui syarikat pengusaha bas dan alasan disebalik kenaikan harga itu, tetapi kita juga faham dan bersimpati dan tidak akan membiarkan rakyat terbeban dengan kenaikan harga.

"Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan akan buat satu keputusan terbaik untuk melindungi semua pihak termasuk pengguna, perkara ini akan dibincangkan dengan pemegang taruh, itu yang kita lakukan selama ini," katanya.

Bagaimanapun, setakat ini Wee berkata pihaknya masih belum mendapat aduan secara spesifik berhubung kenaikan harga secara melampau, dan menyeru masyarakat membuat aduan kepada pihak berwajib sekiranya benar berlaku.

-- BERNAMA