Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjelaskan, permintaan yang diukur mengikut tan kargo bagi setiap kilometer (CTK), di laluan perdagangan dalam lingkungan Asia meningkat 19.8 peratus tahun ke tahun.
Laluan perdagangan Eropah-Asia, Timur Tengah-Asia dan Asia-Afrika masing-masing meningkat 17.9 peratus, 15.9 peratus dan 15.4 peratus, tambahnya.
"Kapasi-ti (diukur dalam CTK tersedia (ACTK) meningkat sebanyak 11.3 peratus tahun ke tahun," jelas IATA dalam kenyataan pada Rabu.
Di peringkat global, keseluruhan permintaan kargo udara meningkat sebanyak 13.6 peratus pada Julai 2024 berbanding paras Julai 2023 (14.3 peratus bagi operasi antarabangsa).
"Julai merupakan bulan kelapan berturut-turut merekodkan peningkatan dua digit tahun ke tahun, dengan semua peringkat meningkat kepada paras yang tidak dilihat sejak rekod tertinggi pada 2021," tambahnya.
Menurut IATA kapasiti pula meningkat sebanyak 8.3 peratus berbanding Julai 2023 (10.1 peratus bagi operasi antarabangsa).
Prestasi itu sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan kapasiti ruang kargo antarabangsa, yang meningkat sebanyak 12.8 peratus susulan kekukuhan pasaran penumpang, dan menyeimbangkan kapasiti kargo antarabangsa yang meningkat 6.9 peratus, tambahnya.
Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata, permintaan kargo udara mencapai paras tertinggi pada Julai bagi 2024 setakat ini, dengan pertumbuhan kukuh di semua rantau, meraih manfaat daripada pertumbuhan perdagangan global, e-dagang yang berkembang pesat, dan kekangan kapasiti yang dialami pengangkutan maritim.
"Memandangkan musim puncak yang masih ada, tahun ini dijangka menjadi tempoh yang sangat memberangsangkan bagi kargo udara, dan terbukti syarikat penerbangan dapat menyesuai dan mengharungi ketidakpastian politik dan ekonomi untuk memenuhi aliran permintaan yang pesat secara fleksibel," katanya.
IATA menambah, faktor yang menyumbang kepada prestasi kargo udara pada Julai 2024 meliputi Indeks Pengurus Pembelian (IPP) bagi pembuatan global yang mencatatkan 50.2 pada Julai 2024.
Data itu menunjukkan inflasi yang sedikit meningkat dan agak stabil di Amerika Syarikat (2.9 peratus), Jepun (2.8 peratus) dan Kesatuan Eropah (2.8 peratus), menurut persatuan itu. - BERNAMA