BEIRUT: Penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri di Beirut mengalami penurunan yang ketara berikutan gelombang besar serangan udara Israel di Lubnan, menurut seorang tokoh pelancongan Lubnan pada Isnin.

"Empat belas syarikat penerbangan telah menghentikan penerbangan ke Lubnan," kata Jean Abboud, Ketua Persatuan Ejen Pelancongan dan Pelancong Lubnan, dalam satu sidang akhbar di Beirut.

Beliau berkata trafik penumpang menurun antara 30 hingga 40 peratus di Lapangan Terbang Rafik Hariri.

Abboud berkata beberapa syarikat penerbangan utama telah menghentikan penerbangan ke Lubnan, termasuk Swiss International Air Lines, Kuwait Airways, Transavia, Air France, Lufthansa dan Saudi Airlines.

Syarikat penerbangan kebangsaan Lubnan, Middle East Airlines (MEA) sedang menambah penerbangan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan syarikat penerbangan lain, katanya.

Sekurang-kurangnya 182 orang terbunuh dan 727 yang lain cedera dalam serangan udara besar-besaran Israel yang menyasarkan beberapa kawasan di Lubnan sejak pagi Isnin, menurut Kementerian Kesihatan.

Tentera Israel berkata mereka telah melancarkan lebih daripada 300 serangan udara di Lubnan sejak pagi, menandakan pengeboman besar-besaran sejak bermulanya persengketaan pada 8 Oktober lepas, menurut Anadolu.

-- BERNAMA