Menurut Penolong Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Rizz Iskandar, dalam hal ini, hakim lazimnya akan bertanya sama ada lafaz berkenaan dilakukan secara kerelaan atau paksaan.
Dalam masa sama, jelas Rizz, hakim juga akan tentukan sama ada lafaz talak berkenaan merupakan Lafaz Soreh atau Lafaz Kinayah.
“Sekiranya secara paksaan, mahkamah akan melihat bentuk paksaan yang dilakukan, dan paksaan yang diterima mahkamah adalah paksaan yang dilakukan sehingga pisau diletakkan dileher misalnya.
“Di situ hakim akan melihat lafaz talak yang dilakukan oleh suami, adakah lafaz berkenaan Lafaz Soreh iaitu lafaz yang terang atau Lafaz Kinayah iaitu lafaz talak yang berlapik,” kata beliau kepada Astro AWANI ketika dihubungi, hari ini.
Rizz berkata, Lafaz Soreh membawa pengertian suami melafazkan dengan jelas keinginan untuk bercerai dengan menggunakan perkataan seperti: “Aku talakkan kau”; “Aku pisahkan kau” atau “Aku ceraikan kau.”
Kata-kata sedemikian, terang Rizz akan menjatuhkan talak tersebut walaupun dilafazkan tanpa niat.
Sementara, Lafaz Kinayah pula, katanya, membawa maksud, lafaz itu dilakukan secara tidak jelas sepertimana contoh: “Awak baliklah ke rumah ibu dan bapa awak.”
Lafaz itu, kata Rizz, bergantung kepada niat.
Mengambil contoh apa yang berlaku ke atas salah seorang penyanyi terkenal Malaysia berkenaan lafaz talak oleh suaminya yang didakwa dilakukan secara paksaan, Rizz berkata pengesahan ke atas lafaz berkenaan perlu dilakukan di Mahkamah Syariah.
“Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh mana-mana isteri yang menghadapi situasi ini adalah membawa perkara ini ke Mahkamah Syariah, bukan pejabat agama. Ini kerana Mahkamah Syariah sahaja yang ada hak untuk menentusahkan lafaz tersebut.
“Kalau tidak puas hati boleh rayu di Mahkamah Rayuan Syariah,” jelas Rizz lagi.
Bagaimanapun, Rizz berkata bagi suami yang melafazkan talak di luar mahkamah atau melalui rakaman video, mereka boleh didakwa melakukan perceraian di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Rizz berkata demikian sebagai mengulas rakaman video yang dikongsi penyanyi terkenal tanah air, Datuk Nora Ariffin yang mendakwa suaminya, Dr Rushdi Ramli telah melafazkan cerai talak satu tanpa kerelaan.
Menurut Nora yang sangat masyhur dengan lagu Dendam Dalam Diam itu, Rushdi dipaksa melafazkan talak dan diminta merakamkan aksi itu melalui video untuk dijadikan bukti.