Ringkasan AI
- Kesedaran Rendah Atlet Mengenai Persaraan: Hanya 20% daripada lebih 500 atlet kebangsaan terlibat dalam program celik kewangan.
- Perlunya Program Celik Kewangan: Atlet perlu memikirkan persaraan dengan serius. Program celik kewangan perlu diperkenalkan untuk meningkatkan kesedaran dan persediaan atlet menjelang persaraan.
- Insurans dan Kesedaran Kewangan: Tinjauan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan bahawa satu daripada dua atlet tidak mencarum insurans perubatan, dan 59% atlet berada dalam kategori tidak celik kewangan.
Atlet profesional boling sepuluh pin, Datuk Shalin Zulkifli berkata, angka itu membimbangkan dan mencerminkan kesedaran rendah dalam kalangan atlet mengenai perangan persaraan yang mampan.
“Atlet tidak akan fikir mereka akan bersara. Sekiranya mereka ada niat itu, bagi mereka ia merupakan mentaliti ‘orang kalah’.
“Sekiranya mereka ambil langkah awal ke arah celik kewangan, maka mereka tidak akan kekal lama dalam pasukan – yang mana itu tidak benar. Oleh itu, kita sediakan program celik kewangan. Malangnya, kesedaran dalam kalangan atlet masih tidak cukup.
“Hanya 20 peratus daripada lebih 500 atlet kebangsaan yang menyertai program-program ini. Kita berusaha untuk tingkatkan kesediaan mereka menjelang persaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Hanya 20 peratus atlet terlibat program celik kewangan, persaraan – Atlet Kebangsaan
Tambah Shalin, tinjauan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendapati satu daripada dua atlet tidak mencarum insurans perubatan manakala, 59 peratus atlet berada dalam kategori tidak celik kewangan.
Oleh itu, beliau menegaskan atlet perlu mula memikirkan dan merancang secara serius mengenai persaraan mereka.
“Sepertimana atlet bersedia dengan sangat teliti untuk beraksi dalam Sukan SEA, Sukan Asia dan Olimpik, maka mereka mesti gunakan metodologi yang sama dalam persiapan ke arah persaraan. Mereka tidak perlu lakukan semua sekali gus.
“Cukup sekurang-kurangnya jika mereka boleh luangkan sejam sehari untuk tujuan menyusun pelan persaraan.
“Kadangkala lakukan perkara ini sangat sukar untuk atlet. Kita cuba berikan kesedaran dengan cara yang lebih lembut akan memudahkan penghadaman mereka,” ujarnya.
Agenda AWANI: Enhancing social protection and wellbeing in Malaysia