Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan ibu bapa agar tidak menggunakan tilam kereta semasa memandu di jalan raya terutama untuk perjalanan jauh.

Ia bagi memastikan keselamatan penumpang terutama bayi dan kanak-kanak.

Penolong Pengarah Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ, Norirman Mansor berkata, mereka diingatkan menggunakan kerusi kereta bayi dan kanak-kanak yang dijamin lebih selamat dan mengikut piawaian yang ditetapkan.

"Kita tahu tilam kereta ini memang ramai yang pakai tetapi mungkin tingkatkan advokasi, nasihat atau kempen kepada orang awam tentang penggunaan kerusi tiada ciri keselamatan sangat bahaya,"katanya semasa ditemubual Astro AWANI di ibu pejabat JPJ, Putrajaya.

Walaupun tilam kereta untuk keselesaan anak-anak, namun ia berisiko mendatangkan kecederaan kepada mereka.

"Kalau kita meletakkan anak sebegitu rupa ia akan beri kesan kepada anak, mungkin akan tercampak keluar dan mengalami kecederaan serta mungkin boleh membawa maut," tambah beliau.

Dalam pada itu, kajian dilakukan Institut Kajian dan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) menunjukkan kanak-kanak yang tidak memakai tali pinggang keledar atau tidak diletakkan dalam kerusi kereta boleh menyebabkan risiko kematian.

Menurut pegawai penyelidik, Bahagian Kejuruteraan Keselamatan Kemalangan, Pusat Kajian Biomekanik dan Keselamatan Kenderaan, Yahaya Ahmad, ia bukan sahaja membahayakan kanak-kanak itu , malah kepada penumpang dan pemandu kereta itu sendiri.

"Kita ada buat kajian mengenai kanak yang tak guna kerusi CRS ini, kita buat pelanggaran sendiri di makmal kita di MIROS."

"Kita buat kanak itu tanpa guna sistem perlindungan, dan apabila berlaku pelanggaran itu, kita boleh lihat kanak-kanak itu terlanggar ke depan dan melanggar ibu bapa yang di hadapan, risiko ini bukan kanak-kanak saja, tapi juga kepada ibu bapa juga, " ujarnya.

Tilam kereta biasanya boleh didapati melalui pembelian atas talian dan semakin menjadi trend di kalangan pengguna terutama untuk perjalanan jauh.

Kementerian Pengangkutan sebelum ini menjangkakan akan mewajibkan penggunaan tempat duduk khas untuk bayi dan kanak-kanak pada 2019.

Pelaksanaan peraturan itu selaras dengan penyertaan Malaysia sebagai anggota pertubuhan World Forum For Hamonization Of Vehichle Reculations.