Selesaikan saman tertunggak untuk mohon Program Khas Peralihan Lesen Memandu
Orang ramai dinasihat menyemak dan menyelesaikan saman tertunggak terlebih dahulu bagi melayakkan menyertai Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia.
Bernama
Fri Oct 04 2024
Aedy Fadly bercakap pada sidang media selepas mengadakan Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di Batu 5, Jalan Bangi Lama hari ini. - Foto Bernama
KAJANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menasihati orang ramai menyemak dan menyelesaikan saman tertunggak terlebih dahulu bagi melayakkan menyertai Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 kepada kelas B (motosikal berkuasa tinggi).
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata saman tertunggak JPJ dan polis perlu diselesaikan meskipun kelonggaran syarat diberikan untuk memohon program peralihan berkenaan.
"Orang awam yang mempunyai lesen kelas B2 selama 10 tahun dan ke atas serta tidak disenarai hitam ataupun mempunyai saman tertunggak layak untuk memohon.
"Tetapi jika mereka dapati tidak layak meskipun telah memenuhi kriteria 10 tahun ke atas, mereka perlu buat semakan dan menyelesaikan saman tertunggak dahulu," katanya ketika sidang media Operasi Khas Kenderaan di Batu Lima, Jalan Bangi Lama, Kajang hari ini.
Aedy berkata semakan kelayakan boleh dibuat di aplikasi MyJPJ, kaunter JPJ serta laman web JPJ.
Turut hadir pada operasi hari ini Pengarah Penguatkuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan.