SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan akan terus mengetatkan dan memperluas operasi bersepadu kenderaan berat termasuk lori bagi memastikan pemandu sentiasa mematuhi peraturan selain tidak berada di bawah pengaruh dadah.

Menterinya Anthony Loke berkata operasi itu sebelum ini telah dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), menyasarkan pemandu bas ekspres dan persiaran yang ramai antara mereka dikesan positif dadah.

"Ini masalah yang kita ambil berat dan kita telah lancarkan operasi bersepadu sejak dua bulan lepas...sekarang kita fokus kepada kenderaan perdagangan dan berat...operasi yang lebih ketat akan diadakan untuk memastikan pemandu yang membawa kenderaan berat ini mematuhi peraturan.

"Sebelum ini kita sasarkan (operasi) di beberapa kawasan perindustrian dan sebagainya, jadi sekarang kita akan perluas supaya mereka lebih berhati-hati," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan Penggal ke-20 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dua kes kemalangan maut di daerah ini, baru-baru ini, membabitkan dua lori. Siasatan polis mendapati pemandu lori berkenaan positif dadah jenis metamfetamina.

Dalam pada itu, Loke sekali lagi mengingatkan pemilik atau pengendali syarikat terlibat yang membenarkan pemandu positif dadah memandu sehingga mengakibatkan kemalangan, bahawa mereka akan turut dikenakan tindakan.

Beliau berkata ini kerana pemilik syarikat bertanggungjawab memastikan pemandu mereka berhemah dan tidak menyalahgunakan lesen serta kedudukan sebagai pemandu untuk melakukan kesalahan jalan raya.

"Bukan sahaja pemandu (diambil tindakan) tetapi pemilik syarikat, ini kita telah buat seperti kes bas persiaran yang terbalik sehingga meragut dua nyawa di Jalan Genting Highlands pada 29 Jun lepas yang mana pemandu dan pemilik syarikat dituduh di mahkamah kerana kecuaian mereka," katanya.

-- BERNAMA