Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata operasi julung kali itu diadakan bagi membanteras kegiatan 'ulat teksi sapu mewah' yang dikesan menjadikan pelancong asing yang menginap di hotel lima bintang serta kawasan pelancongan di Lembah Klang sebagai sasaran.
"Kami banyak menerima aduan mengenai kegiatan ini dan siasatan mendapati modus operandi ulat teksi sapu mewah ini menggunakan aplikasi khas dan bantuan orang tengah dalam menjayakan misi mengaut keuntungan secara tidak bertanggungjawab.
"Dengan bermodalkan MPV mewah, ada antara mereka mengenakan bayaran tidak masuk akal seperti caj hingga SGD$300 (RM997.17) bagi perjalanan Kuala Lumpur ke Singapura berbanding caj biasa RM300," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pejabat JPJ Negeri Selangor di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan.
Aedy Fadly berkata selain menyita MPV mewah antaranya Toyota Alphard, Hyundai Starex, Staria serta Innova, JPJ turut mengeluarkan 45 notis saman terhadap pemilik kenderaan sapu mewah tersebut atas pelbagai kesalahan seperti salah guna lesen kenderaan, tiada lesen memandu kompeten (CDL) dan CDL tamat tempoh.
Beliau berkata rata-rata pemandu kenderaan tersebut merupakan warga tempatan berusia 30-an yang didapati menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) iaitu kenderaan persendirian dijadikan sebagai kenderaan perkhidmatan awam (KPA).
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda hingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata selepas menumpukan operasi di laluan masuk utama negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 serta Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah, pihaknya kini menetapkan fokus untuk membanteras aktiviti kenderaan sapu di lokasi tumpuan pelancong seperti hotel mewah serta kawasan pelancongan di seluruh negara.
"Kita akan atur gerak kerja dari segi dapatkan kerjasama semua pihak termasuk persatuan pelancongan, dengan matlamat untuk kita kembangkan operasi sama di seluruh negara selepas ini," katanya.
-- BERNAMA