Operasi bermula jam 12.45 tengah malam itu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dengan kerjasama JIM Melaka hasil risikan selama dua bulan.
Sinar Harian yang menyertai operasi itu difahamkan GRO 'gred A' itu dibayar tip serendah RM1,000 hingga RM20,000 dengan kalungan selempang bunga sekiranya dapat memberi layanan istimewa kepada pelanggan.
Sepanjang operasi, terdapat beberapa GRO ini cuba bersembunyi di tingkat yang sedang diubah suai dan sebalik meja kaunter.
Beberapa unit kondom juga ditemui di bilik karaoke dipercayai untuk aktiviti tidak bermoral.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, serbuan dijalankan ke atas empat pusat pusat karaoke di bangunan 21 tingkat itu dan 300 individu telah diperiksa.
Katanya, hasil pemeriksaan, JIM menahan 213 individu iaitu 14 tempatan dan 199 disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 109 wanita berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun.
"Warga asing yang ditahan terdiri daripada 186 warga China, Kemboja (2), Hong Kong (2), Bangladesh (1), Pakistan (1), Sierra Leon (1), Myanmar (1), Thailand (1), Taiwan (1), Indonesia (1), Antigua and Barbuda (1) dan Saint Kitts and Nevis (1).
"Siasatan awal kesemua wanita China disyaki GRO yang dibawa oleh pengunjung premis sebagai teman berhibur," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini pada Khamis.
Turut hadir Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.
Beliau berkata, soal siasat mengesyaki bilik karaoke itu berharga serendah RM4,000 hingga RM30,000 yang beroperasi bermula 11 malam hingga 4 pagi.
Katanya, rata-rata warga asing yang ditahan ini masuk ke Malaysia sebagai pelancong dan antara kesalahan yang dilakukan mereka ialah tinggal lebih masa, salah guna pas serta tiada dokumen perjalanan sah.
Tambah Jafri, tindakan tegas juga diambil terhadap warga tempatan yang ditahan dipercayai menggajikan warga asing dan JIM sama sekali tidak bersekongkol dengan mereka ini.
"Fokus kami adalah untuk ambil tindakan tegas untuk pihak majikan lindungi PATI.
"Tanpa majikan yang gajikan PATI, kebanjiran PATI tidak akan berlaku dan tindakan akan diambil di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya. - Sinar Harian