KUALA LUMPUR: Global Peace Mission (GPM) Malaysia melancarkan kempen Rayuan Bantuan Kecemasan Musim Sejuk bagi mengumpul dana membantu mangsa konflik perang di Syria dan Gaza yang terjejas dengan cuaca sejuk melampau.


Ringkasan AI
  • Global Peace Mission (GPM) Malaysia melancarkan kempen Rayuan Bantuan Kecemasan Musim Sejuk untuk mengumpul dana membantu mangsa konflik perang di Syria dan Gaza yang terjejas dengan cuaca sejuk melampau.
  • GPM menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta sehingga 15 Januari depan untuk menyediakan barangan keperluan asas seperti selimut, pakaian musim sejuk, alat pemanas, bahan bakar, bekalan makanan, dan kit perubatan.
  • Usaha ini dilakukan dengan kerjasama NGO ASEAN dan bantuan akan disalurkan oleh petugas GPM yang akan berlepas ke Syria pada 15 Januari, manakala bantuan di Gaza akan diuruskan oleh Pengurus GPM Gaza, Dr Tareq al-Talmas.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrir Azfar Saleh berkata, GPM menyasarkan kutipan bantuan sebanyak RM1 juta sehingga 15 Januari depan untuk disalurkan kepada mereka yang terjejas.

Kata beliau, antara bantuan yang akan disalurkan adalah barangan keperluan asas seperti selimut, pakaian musim sejuk, alat pemanas, bahan bakar, bekalan makanan, dan kit perubatan.

"Kita terpaksa membeli barangan-barangan ini dengan harga yang tinggi disebabkan bantuan misi kemanusiaan disekat daripada memasuki.

"Dalam keadaan Israel menyekat trak-trak bantuan, perlu diingatkan apa yang tidak disekat Israel adalah trak-trak yang berkaitan dengan perniagaan.

"Namun kita terpaksa membayar harga yang mahal untuk mendapatkan barang-barang itu dan kita tidak ada pilihan lain," katanya pada sidang media, di sini, pada Selasa.

Syahrir Azfar menambah, usaha itu dilakukan dengan kerjasama daripada rakan-rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ASEAN termasuk Indonesia, Filipina dan Thailand, yang turut sama-sama menunjukkan solidariti serantau dalam membantu penduduk Palestin.

Menurutnya, petugas GPM dijangka berlepas ke Syria pada 15 Januari depan sementara bantuan di Gaza pula akan diuruskan secara langsung oleh Pengurus GPM Gaza, Dr Tareq al-Talmas yang berada di sana.

Orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian kepada Winter Emergency menerusi akaun Maybank 5642-2161-1602.