Fasa kedua proses pemilihan PKR peringkat Selangor membabitkan lebih 83,000 anggota parti di tujuh daripada 22 cabang di negeri itu yang disahkan layak mengundi, berlangsung hari ini bagi memilih kepimpinan di peringkat cabang dan pusat.

Tujuh cabang berkenaan ialah Puchong, Gombak, Petaling Jaya (PJ) Utara, PJ Selatan, Kuala Langat, Klang dan Selayang.

Puchong mempunyai 17,149 anggota, Gombak (9921), PJ Utara (6,136), PJ Selatan (7,609), Kuala Langat (14,121), Klang (12,998) dan Selayang (15,104).

Proses pengundian menggunakan kaedah e-undi itu dijangka bermula pada 9 pagi dan berakhir 5 petang.

Baki enam cabang lagi akan menjalankan pengundian pada 28 Okt ini melibatkan Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat.

Fasa pertama proses pemilihan di Selangor membabitkan sembilan cabang pada 14 Okt lepas, menyaksikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahului pencabar tunggalnya, Mohd Rafizi Ramli dalam persaingan merebut jawatan timbalan presiden.



PEMILIHAN-PKR (SELANGOR) 2 (AKHIR) SHAH ALAM



Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu memperoleh 9,337 undi sementara Mohd Rafizi yang merupakan naib presiden PKR meraih 8,563 undi.

Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor mendapat sokongan daripada enam cabang iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Serdang, Subang, Kota Raja dan Sepang manakala Mohd Rafizi memperoleh sokongan daripada tiga cabang iaitu Hulu Selangor, Kelana Jaya dan Kapar.

Selangor yang mempunyai keanggotaan paling ramai disahkan layak mengundi iaitu 249,850 orang, dikatakan 'kubu kuat' bagi Mohamed Azmin.

Antara yang menarik tumpuan pada fasa kedua pemilihan parti hari ini adalah melibatkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang bertanding jawatan ketua cabang Gombak setelah penyandangnya, Mohamed Azmin memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan itu.

Selain itu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar pula berdepan pertandingan empat penjuru bagi merebut jawatan ketua cabang Kuala Langat.

Dalam pada itu, menurut laman sesawang Pemilihan Keadilan 2018 di www.pemilihankeadilan2018.com, bekas anggota Exco kerajaan negeri Selangor yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Lanjan, Elizabeth Wong Keat Ping menang tanpa bertanding jawatan ketua cabang PJ Utara.

-- BERNAMA