KUALA LUMPUR:Sebuah akaun Facebook yang dipercayai milik ibu kandung kanak-kanak yang disyaki maut didera, menjadi sasaran kemarahan netizen.

Rata-rata pengguna media sosial meninggalkan komen bernada marah dan mempersoalkan tindakan wanita berkenaan.

“Kalau tak sayang, kenapa ambil dia dari keluarga angkatnya. Mak apa kau ni. Sepatutnya kau pelindung untuk anak kau. Kau tak layak digelar mak. Kesian arwah.

"Arwah lagi bahagia bersama keluarga angkat daripada kau mak kandung dia sendiri. Semoga kamu dapat balasan,” kata seorang netizen menerusi ruangan komen Facebook wanita itu.

Terdahulu pada Jumaat, seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun meninggal dunia dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya.

Kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, siasatan mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa dengan kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan.