LUCKNOW: Sekurang-kurangnya 116 orang maut dihimpit dalam perhimpunan agama Hindu yang sesak di utara India pada Selasa, kata pegawai kerajaan, iaitu tragedi yang disifatkan paling teruk dalam lebih sedekad.

Orang ramai berhimpun untuk mendengar ceramah agama oleh penceramah popular berhampiran bandar Hathras di utara India, dan ketika mereka meninggalkan tempat perhimpunan itu, ribut debu yang kuat mencetuskan panik.

Susulan itu, ramai yang dihempap atau dipijak, jatuh bertindih antara satu sama lain serta sejumlah yang terjatuh ke dalam longkang di tepi jalan dalam keadaan huru-hara.

“Orang ramai keluar berpusu-pusu dari tempat perhimpunan apabila ribut debu mengaburkan penglihatan mereka menyebabkan berlaku huru-hara dan insiden tragis itu,” Pesuruhjaya bahagian bandar Aligarh di negeri Uttar Pradesh, Chaitra V kepada AFP.

"Kami kini memberi tumpuan pada menyediakan bantuan dan rawatan perubatan untuk mangsa," tambah beliau.

Beberapa jam selepas rempuhan itu berlaku, Chaitra berkata, angka kematian yang dicatatkan ialah 116 orang sementara 18 yang lain cedera.

Kebanyakan yang maut merupakan wanita, menurut Ketua Pegawai Perubatan Negeri, Umesh Kumar Tripathi.

Kejadian maut sering berlaku di tempat-tempat ibadat semasa perayaan agama besar di India, yang terbesar daripadanya mendorong berjuta penganut untuk melakukan ziarah ke tapak-tapak suci.


"Dipijak hingga mati”

Barisan ambulans membawa mereka yang cedera ke hospital.

Wanita yang meratap dan lelaki yang menangis berkumpul di luar sebuah bilik mayat di bandar Etah, tempat ramai yang mati dibawa, mencari berita tentang saudara mereka.

"Apabila selesai ceramah, semua orang mula berlari keluar secara serentak," kata Shakuntala, seorang wanita yang hanya memberikan satu nama, kepada agensi berita Press Trust of India.

"Orang ramai terjatuh dalam longkang di tepi jalan. Mereka mula jatuh satu di atas yang lain dan remuk hingga mati."

Perdana Menteri India, Narendra Modi mengumumkan pampasan sebanyak ASD$2,400 (RM11,300) kepada waris terdekat mereka yang meninggal dunia dan ASD$600 (RM2.800) kepada mereka yang cedera dalam "insiden tragis" itu.

"Takziah saya kepada mereka yang kehilangan orang tersayang... saya berharap semua yang cedera segera sembuh," tulis Modi di platform media sosial X.

Presiden Droupadi Murmu pula menyatakan kematian tersebut "sangat menyayat hati" dan mengucapkan "ucapan takziah yang paling mendalam."

Dalam perkembangan sama, Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath yang juga seorang sami Hindu mengucapkan takziah kepada mereka yang terbunuh dan mengarahkan siasatan ke atas kematian itu, kata pejabatnya.

Perhimpunan agama di India mempunyai rekod buruk berhubung insiden maut yang disebabkan oleh kelemahan pengurusan orang ramai dan aspek keselamatan.

Sekurang-kurangnya 112 orang terbunuh pada tahun 2016 selepas letupan besar yang disebabkan oleh pertunjukan bunga api yang diharamkan di sebuah kuil yang menyambut Tahun Baharu Hindu.

Letupan itu memusnahkan bangunan konkrit dan menyebabkan kebakaran di kompleks kuil di negeri Kerala, di mana ribuan orang telah berkumpul.

Pada 2013 pula, seramai 115 penganut terbunuh dalam rempuhan di sebuah jambatan berhampiran kuil di Madhya Pradesh.

Dianggarkan sehingga 400,000 orang berkumpul di kawasan itu dan rempuhan bermula selepas khabar angin tersebar bahawa jambatan itu akan runtuh.

Tidak ketinggalan pada 2008, seramai 224 orang terbunuh dan lebih 400 cedera dalam rempuhan di sebuah kuil di atas bukit di bandar Jodhpur, utara India.