Di SARAWAK, jumlah mangsa meningkat kepada 7,503 orang daripada 2,096 keluarga berbanding 6,718 orang daripada 1,825 keluarga pada petangnya.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, daerah Bintulu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,922 orang daripada 471 keluarga yang berlindung di enam PPS, diikuti di daerah Serian dengan 1,882 mangsa daripada 593 keluarga ditempatkan di 16 PPS.
Di Selangau, sebanyak 728 mangsa daripada 151 keluarga masih berlindung di tiga PPS, di Tatau mencatatkan 426 mangsa daripada 129 keluarga di dua PPS dan di Kuching, seramai 402 mangsa daripada 151 keluarga berlindung di tiga PPS.
Sekretariat turut memaklumkan sebanyak empat PPS baharu telah diaktifkan, masing-masing di Bintulu, Serian, Gedong dan Selangau.
Sementara itu, di SABAH, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 4,383 orang daripada 1,475 keluarga malam tadi berbanding 3,929 mangsa daripada 1,365 keluarga pada petang.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan kesemua mereka ditempatkan di 34 PPS di 10 daerah dengan Kota Marudu menjadi daerah paling ramai iaitu 2,355 orang diikuti Telupid (413), Lahad Datu (360), Pitas (379), Kota Belud (297), Beluran (185), Sandakan (118), Paitan (120), Beufort (102) dan Tongod seramai 54 mangsa banjir.
-- BERNAMA