MELAKA: Kerajaan negeri menyasarkan 400 syarikat pengeksport di Melaka berdaftar dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi meningkatkan produktiviti dan keuntungan syarikat berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata setakat Jun lepas, sebanyak 268 syarikat di Melaka daripada 13,018 syarikat dari seluruh Malaysia telah berdaftar dengan MATRADE.

"Saya berharap penganjuran Hari Eksport 2024 selama dua hari ini akan meningkatkan jumlah pendaftaran syarikat pengeksport di Melaka terutamanya daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan pastinya kerajaan negeri akan terus menggalakkan kemasukan pelabur dan menyumbang kepada jumlah nilai eksport di negeri ini

"Dalam masa yang sama usahawan pengeksport juga perlu memainkan peranan dengan memanfaatkan faedah yang disediakan oleh MATRADE bagi memastikan setiap strategi dapat dilaksanakan, sekali gus menjana output syarikat yang lebih lumayan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Eksport 2024 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini pada Selasa yang turut dihadiri Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Katanya kerajaan negeri akan terus komited dalam membangun dan membimbing usahawan pengeksport ke pasaran antarabangsa serta pasaran sedia ada bagi meningkatkan ekonomi Malaysia, khususnya di Melaka.

Mengulas lanjut beliau berkata kedudukan Melaka yang berada di antara Johor dan Selangor turut memberi banyak kelebihan kepada pelabur yang mahu menggunakan pelabuhan di sebelah selatan tanah air iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) atau Pelabuhan Klang.

Keadaan ini katanya telah melonjakkan pelaburan di Melaka dari segi jumlah perdagangan yang bernilai RM32.29 bilion pada 2023 manakala bagi Januari sehingga April lepas, jumlah perdagangan di Melaka mencatatkan kenaikan sebanyak 24.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.

"Meskipun jumlah eksport Melaka pada 2023 mencatatkan penurunan sebanyak RM5.4 peratus kepada RM12.03 bilion berbanding RM12.72 bilion pada 2022, saya yakin kempen galakan seperti Hari Eksport 2024 ini akan dapat menyumbang kepada peningkatan semula prestasi nilai eksport memandangkan kita mempunyai banyak syarikat berpotensi tinggi terutama dalam industri-industri utama," katanya.

Sementara itu, Reezal Merican berkata MATRADE menyasarkan jumlah eksport negara mencapai RM1.6 trilion menjelang akhir tahun 2024 berikutan pencapaian tahun lalu mencatatkan RM1.427 trilion.

"Sehingga lima bulan pertama tahun ini, jumlah eksport negara menunjukkan peningkatan dengan mencapai RM606 bilion dan dijangka terus meningkat. Kita yakin kerana sasaran RM1 trilion sudah dicapai selama tiga tahun berturut-turut.

"Sasaran dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk mencapai eksport bernilai RM1.5 trilion pada akhir 2025, telah dicapai pada 2022 lagi," katanya.

--BERNAMA