IPOH: Latihan pengurusan dan pengendalian krisis keganasan, Ex Kurung yang dilaksanakan selama dua hari sejak semalam disifatkan berjaya mencapai objektif dan matlamatnya, kata Komander 69 Komando SAC Hamzah Hashim.

Hamzah berkata latihan seperti Ex Kurung adalah kaedah yang sangat signifikan dalam memberikan gambaran sebenar berkaitan persediaan dan strategi 69 Komando bagi mematahkan tindakan atau serangan pengganas.

"Ia juga memainkan peranan penting dalam memberi pencerahan serta kefahaman kepada umum berhubung bidang tugas 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK) dalam menangani ancaman pengganas.

"Secara keseluruhan, saya merumuskan Ex Kurung yang kita jalankan selama dua hari ini telah mencapai objektif dan matlamatnya, terutamanya pendedahan kepada kami sebagai kumpulan penggempur," katanya pada sidang media penutupan Latihan Pengurusan dan pengendalian krisis keganasan Ex Kurung di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini hari ini.

Semalam, polis dalam satu kenyataan mengesahkan insiden 'pengganas', 'tembakan' dan 'tebusan pelajar' di PUO yang mencetuskan panik dan tular di media sosial adalah latihan pengurusan dan pengendalian krisis dikenali sebagai Ex Kurung.

Sementara itu, Hamzah berkata pelajar (tebusan) yang terlibat dalam latihan ini boleh menjadikan ia sebagai bahan untuk kajian mengikut bidang pengajian masing-masing.

Beliau berkata melalui latihan itu juga pihaknya telah mengenal pasti beberapa perkara yang perlu diperkemaskan demi memastikan ia menepati prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan khususnya ketika berhadapan situasi sebenar.

Ditanya tentang maklum balas atau reaksi umum berhubung Ex Kurung, beliau berkata ia adalah latihan berterusan yang dilakukan oleh 69 Komando dalam memastikan kesiapsagaan pasukan sentiasa berada pada tahap terbaik.

"Saya mengambil pendekatan positif dalam setiap komen diberikan sama ada lapisan tertinggi atau masyarakat berhubung latihan ini.

"Bagi saya, serangan sebenar daripada pengganas tidak mengambil kira masa atau keadaan sama ada kita selesa atau tidak. Paling penting kita dapat stabilkan keadaan supaya tidak timbul kegusaran masyarakat," katanya.

Selain itu, beliau menghargai komitmen diberikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), pengurusan PUO, media dan beberapa agensi lain dalam memastikan Ex Kurung dilaksanakan mengikut perancangan yang telah disediakan.

Ex Kurung yang melibatkan lebih 200 individu terdiri daripada 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), petugas KKM, media dan pengurusan PUO diadakan sejak pagi semalam melibatkan 'serangan' sekumpulan pengganas, penahanan 'tebusan' dalam kalangan pelajar dan pensyarah diakhiri dengan 'serangan' terhadap pengganas dan operasi penyelamat tebusan kira-kira 5.30 pagi tadi.

-- BERNAMA