KOTA BHARU: Seorang pegawai penguat kuasa sebuah jabatan kerajaan antara enam lelaki direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah.

Perintah reman terhadap kesemua lelaki berusia 50-an itu dikeluarkan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Semalam, kesemuanya ditahan di pejabat SPRM di sini antara 2 hingga 5 petang, selepas mereka hadir memberi keterangan.

Difahamkan mereka disyaki meminta dan menerima suapan secara bulanan antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi seperti minyak serta barangan seludup lain termasuk rokok.

-- BERNAMA