JELI: Polis menahan empat wanita tempatan dan memburu seorang lelaki disyaki menjual dan menyalahgunakan lencana kereta menggunakan nama 'Raja Kelantan Asal Bentara Setia Paduka Raja'.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kesemua wanita berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu ditahan pada 24 dan 25 Mei lepas di sekitar Bachok, di sini dan di Setia Alam, Selangor.

Beliau berkata polis menerima laporan pada 17 Mei lepas daripada seorang petugas istana negeri yang telah melihat satu hantaran menerusi aplikasi Instagram memaparkan beberapa gambar kenderaan mewah Rolls-Royce Ghost menggunakan logo berkenaan.

"Pengadu menyatakan Pertubuhan Kerabat D'Raja Kelantan tidak pernah mengeluarkan logo atau apa-apa lambang seperti itu dan disyaki logo berkenaan disalahgunakan oleh individu tidak bertanggungjawab.

"Hasil semakan polis mendapati kenderaan mewah itu didaftarkan atas nama sebuah syarikat dan semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati syarikat itu dimiliki seorang lelaki berusia 61 tahun," katanya pada sidang media selepas Program TownHall Ketua Polis Kelantan 2024 di Politeknik Jeli di sini hari ini.

Berikutan itu, polis memburu warga emas itu yang dikenali sebagai Lim Khong Soon.

Muhamad Zaki berkata polis juga telah mengenal pasti logo yang dipamerkan pada kenderaan mewah itu adalah milik Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia.

Beliau berkata selain itu, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Hilux yang menggunakan logo sama.

Dua daripada empat wanita yang ditahan itu, katanya merupakan Yang Dipertua dan bendahari pertubuhan berkenaan manakala pertubuhan bukan badan kerajaan itu merupakan pertubuhan yang sah berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Malaysia.

Muhamad Zaki berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan/Seksyen 5B Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah daripada salah guna) 1977.

-- BERNAMA