Rakaman video berdurasi satu minit dan 29 saat perbuatan lelaki berusia 60-an itu menjadi tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun yang menyedari bunyi kucing bising di luar rumah pada 10 pagi, Jumaat lalu.
"Wanita itu yang juga jiran suspek melihat lelaki itu sedang memasukkan kucing berkenaan ke dalam jaring besar sebelum mengheret dari aras rumahnya hingga ke bawah flat.
"Beberapa penduduk juga cuba menasihatkan lelaki itu supaya melepaskan semula kucing yang berada di dalam jaring berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Mohd Azam berkata, berdasarkan maklumat awal, lelaki yang tinggal bersama isterinya di pangsapuri itu waras dan tioada sebarang masalah kesihatan mental.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan kerana melakukan khianat ke atas binatang serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam sebarang perbuatan melakukan penganiayaan terhadap mana-mana haiwan," katanya.