Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa yang juga ejen insurans telah melayari Facebook pada 5 Ogos lepas, dan tertarik dengan skim pelaburan yang diiklankan oleh sebuah bank tertua dan terbesar di China.
Beliau berkata mangsa yang berasal dari Kuala Terengganu telah menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp dan dijanjikan keuntungan 65 peratus daripada wang yang dilaburkan.
"Mangsa yang teruja dengan keuntungan tinggi itu telah melakukan 10 kali pindahan wang ke empat akaun berlainan berjumlah RM176,500 bermula 10 Sept hingga 31 Okt lepas.
"Mangsa kemudiannya diberi 'keuntungan' dalam sistem aplikasi "group VIPDB3-BOCI Investment Club" berjumlah RM2 juta, tetapi wang itu tidak boleh dikeluarkan, dan pelbagai bayaran diminta dengan alasan untuk mengeluarkan wang berkenaan secara tunai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata mangsa yang berasa tertipu telah membuat laporan polis petang semalam.
Beliau berkata semua wang yang dilaburkan adalah hasil simpanan dan kad kredit milik mangsa.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Saya ingin mengingatkan orang awam supaya jangan mudah terpedaya dengan skim pelaburan di laman sosial.
"Walaupun pelbagai peringatan telah diberi dan diuar-uarkan oleh pihak berkuasa, masih ramai yang terpedaya dan menanggung kerugian besar," katanya.
-- BERNAMA