Penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor yang dimeterai 10 Julai lalu dilengkapkan dengan pemeteraian empat perjanjian duluan (CP) antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, perjanjian itu melibatkan perjanjian kemudahan, perjanjian pajakan, perjanjian hak guna dan perjanjian penyelesaian.

Maximus berkata, dengan termeterainya perjanjian tersebut, perjanjian utama dapat dikuatkuasakan.

Ia katanya perjanjian jual beli saham Puncak Niaga Holdings Berhad dapat dikuatkuasakan bagi membolehkan Air Selangor mengambil alih Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).

"Ini merupakan satu tanda aras utama dalam menstrukturkan semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Industri Perkhidmatan Air antara Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Maximus berkata, perjanjian dan penyerahan lesen terbabit menjadi tanda mula setiap syarat penting perjanjian air itu selesai serta dipenuhi.

"Pihak terbabit diberi tempoh lima bulan untuk menyempurnakan semua CP dan mulai 2 minggu ini saya berharap Air Selangor dapat memastikan perkhidmatan bekalan air tidak terjejas dalam tempoh peralihan ini," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata hasil perjanjian ini akan menyaksikan perolehan RM2 bilion dari PAAB kepada Air Selangor.

"Ia sebagai pembiayaan pemerolehan SYABAS, PNSB, Konsortium ABBAS Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

"Air Selangor pula akan menyediakan aset air bernilai RM2 bilion kepada PAAB yang seterusnya akan kembali disewa kepada Air Selangor," jelasnya.

Sebelum ini, Azmin berkata urusan perpindahan aset air Selangor dijangka selesai dalam masa 60 hari dari tarikh perjanjian utama ditandatangani dan menegaskan tiada perubahan kepada perjanjian tambahan kepada perjanjian utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dalam pada itu, Azmin berkata Air Selangor sebagai syarikat utama penyedia perkhidmatan air di negeri itu pihaknya akan terus memberi tumpuan bagi penambahbaikan perkhidmatan rawatan air, sistem pengagihan dan mengurangkan air tanpa hasil (NRW), serta memastikan bekalan air yang berterusan dan mencukupi kepada pengguna.