KUALA LUMPUR: Sebanyak empat buah kereta mewah musnah dalam kebakaran di sebuah galeri kenderaan berhampiran Taman Eco Ara Damansara, Selangor, pada Isnin.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.30 tengah malam.

"Setibanya di lokasi, anggota mendapati empat kereta terbakar ketika diturunkan dari lori pengangkut.

"Kebakaran membabitkan sebuah BMW X5 baharu, dua BMW 5 Series terpakai dan sebuah BMW 7 Series terpakai.

"Kebakaran menyebabkan dua daripada kenderaan itu musnah 70 peratus, manakala dua lagi kenderaan musnah 100 peratus," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Morni berkata, kerja memadam kebakaran mengambil masa hampir setengah jam sebelum api dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.10 pagi.

Katanya, punca kebakaran dan angka kerugian masih dalam siasatan.