ISKANDAR PUTERI: Seorang pemandu Nissan GT-R maut manakala penumpangnya cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas di bulatan Kampung Sungai Melayu, pada Ahad.


Ringkasan AI
  • Pemandu Nissan GT-R maut dan penumpang cedera selepas terbabas di bulatan Kampung Sungai Melayu, Ahad lepas.
  • Kemalangan berlaku pada jam 4 pagi ketika pemandu berusia 41 tahun hilang kawalan dari arah Puteri Harbour ke Gelang Patah.
  • Kes disiasat di bawah Sesyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, maklumat berkaitan kemalangan maut membabitkan kenderaan itu diterima Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPT) pada jam 4 pagi.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun datang dari arah Puteri Harbour menuju ke Gelang Patah.

"Mangsa hilang kawalan lalu terbabas sendiri di bulatan Kampung Sungai Melayu dan mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki. Mangsa maut di lokasi kejadian.

"Penumpang lelaki tempatan berusia 36 tahun mengalami luka di bahagian siku," katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Sesyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Sinar Harian