Menawarkan 'duit kopi' bagi mengelak laporan dibuat kepada pihak berkuasa. Itu antara pengakuan salah seorang penduduk di sekitar kawasan aktiviti mengorek pasir dekat Bestari Jaya di sini.

Hanya ingin dikenali sebagai Peter, dia akui telah 25 tahun menetap di kawasan tersebut dengan menguruskan tanah persendirian milik abangnya.

Menawarkan 'duit kopi' bagi mengelak laporan dibuat kepada pihak berkuasa. Itu antara pengakuan salah seorang penduduk di sekitar kawasan aktiviti mengorek pasir dekat Bestari Jaya di sini. - Foto Astro AWANI

"Ada sekali saya tanya kepada seorang indivudu di sini, "Kenapa ada minyak (tumpah). Macam mana kerja korek pasir ini?" Dia jawab, "kita ada lesen, kita boleh kerja macam ini."

"Saya cakap, "jangan la macam itu. Air ini orang guna untuk minum." Dia cakap dekat saya, "kenapa nak masuk campur?" Saya memang duduk sini dah 25 tahun, kita pun jaga juga kawasan ini. Saya kata dekat dia, "jangan buat macam ini. Awak siapa pun saya tak kenal."

"Dia tanya saya, nak 'duit kopi' berapa? Saya cakap "Taknak 'duit kopi'. Saya tak nak tengok kejadian macam ini. Jadi saya nak buat aduan," katanya kepada Astro AWANI.

Dia yang mengakui tidak mempunyai tahap pendidikan yang tinggi, tidak tahu apakah saluran yang betul untuknya membuat laporan dan aduan.

Peter akui, dia melihat dengan mata kepalanya bahawa terdapat tumpahan diesel daripada pontun di tapak lokasi korek pasir yang telah dihenti tugas dua bulan lalu.

Peter melihat dengan mata kepalanya bahawa terdapat tumpahan diesel daripada pontun di tapak lokasi korek pasir yang telah dihenti tugas dua bulan lalu. - Foto Astro AWANI

"Mula-mula saya nampak pontun ditarik ke atas. Saya selalu ulang-alik ke kedai, dari pukul 2 lebih hingga pukul 6 petang pontun itu ditarik. Selepas itu saya nampak pontun itu seperti ini (mendongak ke atas).

"Ketika itu saya nampak, minyak itu tumpah. Saya memang nampak sendiri masalah yang berlaku di sini. Sejak saya di sini, sepanjang ia beroperasi, memang ada minyak tumpah sedikit demi sedikit.

"Saya tanya orang yang mengendalikan operasi korek pasir, apa jadi? Dia cakap cuma ada minyak-minyak tumpah sedikit.

"Saya tanya kenapa pontun itu jadi macam itu? Dia cakap nak ditarik ke atas. Dia cakap ia (pontun) nak dibuka. Lepas itu saya tengok memang ada diesel tumpah. Saya lihat dengan mata sendiri. Memang nampak. Memang sumpah saya nampak," akuinya.

Sejumlah 100 liter minyak daripada pontun di kawasan operasi korek pasir yang telah dihenti tugas dua bulan lalu terlepas ke dalam aliran Sungai Selangor. - Foto Astro AWANI

Dalam sidang media pada Isnin lalu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari percaya perbuatan khianat menjadi punca pencemaran minyak diesel atau benzena di Sungai Selangor yang dikesan pada petang Ahad lalu.


Ujarnya, sejumlah 100 liter minyak daripada pontun di kawasan operasi korek pasir yang telah dihenti tugas dua bulan lalu terlepas ke dalam aliran Sungai Selangor.

Ia kemudian dikesan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang yang telah menjejaskan jutaan pengguna di Kuala Lumpur dan Selangor.