'Ebit Lew perdaya saya secara halus untuk ikut kemahuannya' - Saksi
Pengadu berkata dia berasakan Lew merosakkan dirinya dengan memperdayakannya secara halus sehingga terikut-ikut dengan kemahuan tertuduh.
Bernama
Wed Aug 28 2024
Pengadu berkata dia berasakan Lew merosakkan dirinya dengan memperdayakannya secara halus sehingga terikut-ikut dengan kemahuan tertuduh. - Gambar hiasan
TENOM: Seorang wanita hari ini memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew ada bercerita kepadanya tentang kemahuan seksualnya yang tidak dapat dipenuhi oleh isteri.
Wanita berusia 40-an itu selaku saksi kesembilan pendakwaan yang juga pengadu kes itu berkata perkara itu diceritakan Lew kepadanya dalam satu panggilan video berdurasi 44 minit sembilan saat pada 20 Mei 2021.
Dia juga menafikan ada berkongsi sesuatu yang intim mengenai dirinya kepada Lew sepanjang tempoh panggilan video itu dan tidak membuat apa-apa rakaman.
Pengadu juga bersetuju dengan soalan peguam Lew, Datuk Ram Singh semasa pemeriksaan balas bahawa saksi secara sukarela mengambil bahagian dalam panggilan video tersebut.
Pengadu berkata dia merasakan Lew telah merosakkan dirinya dengan memperdayakannya secara halus sehingga terikut-ikut dengan kemahuan tertuduh.
Wanita itu juga menafikan mahu melakukan hubungan intim dengan tertuduh.
Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.
Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani disambung esok.