Tun Dr Mahathir Mohamad mempercayai dua tahun sudah memadai untuk negara ini dipulihkan.

Kata Perdana Menteri, banyak yang boleh dilakukan dalam tempoh dua tahun, termasuk menggubal undang-undang baharu dan menyingkirkan pegawai-pegawai kerajaan yang tidak amanah.

"Kita boleh singkirkan pegawai yang 'rosak', boleh buat undang-undang baharu dan boleh tolak undang-undang draconian (lapuk).

"Banyak yang boleh kami lakukan. Kami sudah cuba mengurangkan jumlah pinjaman yang kami ada. Kami mahu menjadi kerajaan yang boleh mengatasi banyak batasan yang diakibatkan kekurangan dana," kata beliau dalam temu bual 'One on One TRT World' bersama Ghida Fakhry.


Beliau turut mendakwa perdana menteri sebelum ini telah membawakan banyak kerosakan kepada negara, terutamanya dalam pinjaman wang atas kadar faedah yang terlalu tinggi.

"Bekas perdana menteri telah membawakan banyak masalah kepada negara, terlalu banyak pinjaman negara. Negara akan terus dibelenggu hutang selama 40 hingga 50 tahun kerana jumlah pinjaman wang yang dibuat pada kadar faedah yang terlalu tinggi.

"Dan sudah tentu dia juga telah menggunakan pegawai-pegawai kerajaan untuk kepentingan parti dan bukan untuk kerajaan serta rakyat," dakwa Dr Mahathir.

Ketika ditanya mengenai cabaran ‘multilateral’ dunia yang kini semakin berubah, Dr Mahathir berkata dunia sekarang berada dalam suasana ketidaktentuan tanpa ada pihak yang mampu mencari penyelesaian.

"Banyak perkara sedang yang berlaku di dunia. Sebagai contoh, tiada peperangan di Timur Tengah pada 15 tahun yang lalu dan dunia pada ketika itu adalah lebih stabil dan aman. Tiada presiden Amerika (Syarikat) yang berkelakuan seperti (Donald) Trump.

BACA: Trump burukkan imej Amerika Syarikat

"Tetapi sekarang, kita boleh lihat banyak perubahan. Peperangan di Timur Tengah... ramai yang menderita. Juga globalisasi dan aktiviti perdagangan bebas yang sedang berlaku tetapi belum diteliti dan dilaksanakan dengan betul," katanya.

Menurutnya, masalah dunia yang dihadapi sekarang ini banyak berpunca dari Presiden AS, Donald Trump yang mempunyai polisi berbeza daripada apa yang dilakukan presiden AS sebelumnya.