Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, hasil maklumat awam, suspek ditahan sekitar jam 6.00 petang Selasa oleh pasukan khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kes ini.
Polis katanya, turut merampas selaras senapang patah dan peluru jenis penabur.
“Kedua-dua suspek tersebut didapati menjalankan aktiviti memburu secara haram dan salah seorang telah melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangka binatang liar,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, permohonan tahanan reman akan dibuat ke atas kedua-dua suspek, dengan kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis jelasnya, masih meneruskan siasatan secara menyeluruh dari pelbagai sudut untuk melengkapkan kertas siasatan.
“Namun siasatan awal mendapat mereka tidak memiliki lesen senjata api," katanya.
Ditanya kenapa suspek melarikan diri, Mancha percaya mereka panik, setelah mendapati sasaran yang disangka haiwan buruan itu sebenarnya adalah manusia.
Pada 23 September lalu, sekitar jam 6.00 pagi, polis telah menerima laporan kejadian seorang anggota tentera cedera terkena tembakan rambang semasa sedang menjalani latihan di kawasan hutan Jalan Multipass Link di Song.
Kejadian dianggarkan berlaku pada jam 2.45 pagi hari yang sama, dengan identiti mangsa dikenal pasti sebagai Koperal Petrus Linggi Liman, 29 tahun.
Mangsa terkena tembakan di bahagian pinggang dan paha sebelah kiri, ketika sedang berlabuh atau berehat.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song sebelum dibawa ke Hospital Kapit untuk menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia pada jam 7.43 pagi.
“Bedah siasat ke atas mayat mangsa telah mengesahkan punca kematian adalah luka tembakan di bahagian kiri belakang badan,” jelas Mancha lagi.
Jasad mendiang yang bertugas di Briged Kesembilan Infantri, Sibu dijangka akan disemadikan dengan penuh istiadat ketenteraan pada Jumaat ini, di kampung halamannya di Pakan, Julau.