TAWAU: Dua remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau di sini pada Khamis, atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun secara bergilir-gilir.

Kedua-dua remaja berusia 13 dan 14 tahun itu didakwa merogol kanak-kanak tersebut di sebuah kampung pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, dalam pertuduhan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Tawau, Mohd Afiz Huzairi Ayob tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh berkenaan.

Menurut kertas pertuduhan, kedua-duanya melakukan perkara itu pada jam 9.40 malam di kawasan kebun di sebuah kampung.

Kedua-dua didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 76(2)(e) Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara tidak kurang dari 10 tahun dan tidak lebih dari 30 tahun serta dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding itu, tiada sebarang tawaran jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan mahkamah menetapkan 21 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut. -- Sinar Harian