Dua anggota polis dipenjara empat tahun dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan sebanyak RM8,000, empat tahun lalu.

Hakim S. Indra Nehru menjatuhkan hukuman itu ke atas Koperal V. Ravi Chandran, 50, serta Inspektor Mohd Faizal Fauzi, 36, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguan melampaui munasabah.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara bermula hari ini serta memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan lagi jika gagal membayar denda.

Kedua-dua tertuduh didakwa menerima rasuah berjumlah RM8,000 daripada K. Premnath sebagai dorongan untuk menutup siasatan ke atas lelaki itu berhubung kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mereka yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh telah melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Jelapang di sini, antara 7.40 hingga 7.55 malam, 2 Sept 2014.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Bagi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nur Laila Mohamed Nazil manakala peguam EP Seeralasittan mewakili Ravi Chandran dan Mohd Faizal diwakili peguam K. Nahtan.

Pada prosiding itu, Indra Nehru juga membenarkan permohonan kedua-dua peguam yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara kerana tertuduh berhasrat memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Berikutan itu, Indra Nehru menetapkan jaminan ke atas tertuduh sebanyak RM10,000 yang ditetapkan sebelum ini, dinaikkan kepada RM15,000.

-- BERNAMA