KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis menahan dua penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM5,000.

Menurut sumber, suapan tersebut bagi mempercepatkan proses bayaran kerja-kerja pembekalan yang dilaksanakan di negeri tersebut.

Sumber berkata, suspek merupakan wanita dan lelaki berusia antara 40-an dan 50-an ditahan kira-kira jam 2 petang pada Khamis, ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perlis.

"Suspek pertama seorang wanita telah ditahan kerana meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang pengurus syarikat yang dibuat melalui pindahan akaun sekitar penghujung tahun 2023.

"Ia sebagai dorongan supaya mempercepatkan proses bayaran kerja-kerja pembekalan oleh syarikat tersebut.

"Sementara itu, tangkapan melibatkan suspek kedua dibuat kerana dia disyaki sebagai rakan subahat kepada suspek pertama dalam penerimaan wang rasuah tersebut," katanya pada Khamis.

Pengarah SPRM Perlis, Suzeliyana Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. - Sinar Harian