PUTRAJAYA:Dua pegawai kanan kerajaan termasuk seorang timbalan ketua pengarah dan tiga pengarah syarikat perkapalan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis kerana disyaki terlibat skandal rasuah berhubung kelulusan dan pengecualian khas kepada beberapa syarikat untuk membawa Minyak Gred Berat di perairan Malaysia.

Sumber memberitahu, SPRM mendapat perintah tahanan reman selama lima hari sehingga 15 Disember depan di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 17 Akta SPRM dijalankan. 

Beliau berkata, dua pegawai kanan itu didapati telah menyalahgunakan kuasa dengan mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat-syarikat tertentu tanpa pengetahuan dan kelulusan Menteri Pengangkutan.

Kelima-lima suspek yang berusia antara 35 dan 54 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya ketika memberi keterangan malam tadi.

"Siasatan mendapati ketua pengarah jabatan terbabit sendiri tidak mengetahui berhubung pengeluaran surat pengecualian ini sedangkan beliau sebelum ini telah mengeluarkan surat arahan larangan penggunaan Single Hull, Double Bottom dalam mengangkut minyak Gred Berat di Perairan Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.




Sumber menambah, pihaknya menerima rungutan dan aduan daripada pengusaha-pengusaha kapal lain yang telahpun bertukar kepada Double Hull, Double Bottom.

Katanya, ia selaras dengan piawaian antarabangsa bagi mengelakkan kebocoran dan pencemaran laut kesan dari tumpahan minyak oleh kapal jenis Single Hull.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan tangkapan tersebut.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.