KUALA TERENGGANU: Seorang bapa dan anak perempuannya dihadapkan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Isnin atas tuduhan persediaan melakukan persetubuhan luar nikah dan berkhalwat bersama pasangan masing-masing.

Bagi kes membabitkan bapa, Mat Husin Sulaiman, 53, yang merupakan tukang urut dan Aslina Razali, 37, seorang tukang masak masing-masing didenda RM4,500 selepas ditahan dalam keadaan mengaibkan di sebuah rumah di sini pada 19 Mei lalu.

Kedua mereka turut berdepan hukuman penjara selama setahun sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut pertuduhan, mereka ditahan dalam sebuah rumah di Kampung Surau Haji Daud, di sini kira-kira jam 5.20 petang pada 19 Mei lalu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) pindaan 2022 iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau tidak lebih enam kali sebatan atau dengan mana-mana kombinasi hukuman.

Ketika rayuan, kedua-dua tertuduh yang telah berkahwin memohon agar hukuman diringankan atas faktor kewangan dan masih mempunyai tanggungan, namun, pihak pendakwa memohon agar kes tersebut dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu, Nurul Taqwa Hasbu manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, anak kepada Mat Husin, Nurul Hadhari Mat Husin, 20, dan pasangannya, Che Mohammad Aidil Hakim Rozali, 20, didakwa atas kesalahan khalwat.

Mereka yang masih menuntut di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) swasta dan telah mendirikan rumah tangga pada Julai lalu terlepas hukuman sebat atas kesalahan khalwat berulang.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 31 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan khalwat di sebuah apartment di daerah ini, kira-kira jam 4.15 pagi pada 18 Mac lalu.

Hakim Hamidi Syafie menjatuhi denda RM3,000 atau empat bulan penjara jika gagal menjelaskan denda manakala pasangannya pula didenda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Sinar Harian