Trauma insiden Highland Towers yang mengorbankan 48 penghuni di Taman Hillview pada tahun 1993 dikatakan tidak pernah lenyap daripada ingatan penduduk negara ini.

Kawasan tragedi bangunan runtuh yang pertama dan terburuk sejak merdeka ini menyimpan 1,001 rahsia yang belum terungkai sehingga ke hari ini.

Tinjauan Astro AWANI turut mendapati kawasan itu sudah berpagar dan difahamkan tidak dibenar untuk dimasuki.

Dua blok 12 tingkat yang tinggal kelihatan suram dan sepi di siang hari dan agak menakutkan pada waktu malam.

Bagaimanapun, usaha sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka 'Projekt OFO' (Ohsem Flying Objekt) cuba membuang perasaan takut masyarakat dengan membawa visual sebenar persekitaran blok di Highland Towers seandainya melalui kawasan tersebut pada waktu malam.

Istimewanya kumpulan ini, mereka menggunakan dron atau sejenis pesawat udara tanpa juruterbang untuk meninjau persekitaran bangunan tinggal tersebut.

Ada dua kaedah penggunaan dron iaitu sama ada dikendalikan secara kawalan jauh atau diterbangkan secara bebas berdasarkan rancangan penerbangan yang telah diprogramkan.

Dianggotai Amri Iqwan Abd Majid, Muhamad Armi Abd Majib, Fauzy Mohd Rahim dan Kamarul Ehram Kamaruddin selaku 'pemandu' dron, Projekt OFO cuba menjawab pelbagai persoalan masyarakat mengenai apa yang terselindung di sebalik misteri Highland Towers.

Amri yang menjadi jurucakap kumpulan itu memberitahu terdapat enam individu yang terlibat secara langsung selain 15 orang lagi yang bertindak sebagai kakitangan sokongan.

"Apa yang kami buat tidak salah. Kami ikut semua peraturan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) yang menetapkan penerbangan tidak boleh melebihi 120 meter dan berat dron tidak melebihi 20 kilogram (kg).

"Kami mula berkenalan sejak 2005 semasa persediaan pengajian di Jerman. Kami memulakan OFO pada April 2015. Kerana itu ada nama di dalam projek ini diambil daripada beberapa frasa di dalam bahasa Jerman.

"Fauzy yang banyak 'main' dron dan pernah menerbangkan dron di Jerman, Belanda dan Perancis," kata Amri.

Rakaman selama sembilan minit 49 saat di sekitar kawasan Highland Towers yang menggunakan dron -Sumber YouTube Ohsem Flying Objekt OFO

Katanya, idea untuk membuat projek itu bermula atas rasa ingin tahu rahsia di sebalik lokasi seram berkenaan.

"Kami buat perkara yang orang tidak terfikir untuk lakukan. Jadi apabila difikir semula, kenapa tidak hantar dron ke kawasan seram. Kami penakut, tapi dron kami berani.

"Apabila kami periksa, ia bukan sahaja dilakukan di negara ini, namun sudah dibuat di seluruh dunia, lebih-lebih lagi pada waktu malam.

"Tetapi mungkin video kami adalah yang pertama dihasilkan dron di kawasan seram di negara ini," jelasnya.


Antara dron yang digunakan Projekt OFO untuk penggambaran di sekitar kawasan Highland Towers -Sumber gambar Projekt OFO

Katanya lagi, mereka turut menawarkan servis dron termasuk fotografi sehingga membuat pelan tiga dimensi.

"Highland Towers ini antara projek pertama untuk Projekt OFO di bawah OFO Media.

"Kami mahu bawakan pengalaman seram itu kepada mereka yang berminat dan ingin tahu mengenai lokasi itu di hadapan komputer riba dan telefon pintar dari perspektif dron.

"Kami mengambil masa selama tiga hari dan dua malam untuk menyiapkan rakaman dron berkenaan," ujarnya.

BACA: Penduduk bimbang tragedi Highland Towers berulang

Ketika ditanya apakah antara cabaran yang dialami semasa melakukan rakaman dron, ini katanya: "Pada saya mungkin nyamuk. Namun kepada pemandu dron, dia perlu pastikan rakaman tidak bergegar sangat kerana keadaan yang mencabar.

"Mungkin pemandu dron dilihat perlu mempunyai mental yang agak kuat dengan pelbagai versi kisah seram yang pernah diceritakan orang ramai di sana. Kalau ada apa-apa kelibat 'hantu', dialah yang pertama akan melihatnya.

"Paling tidak boleh dilupa, dron ditinggal di dalam kereta selepas rakaman, takut kalau ada yang mengikut sampai ke rumah."

BACA: Pemaju dan PBT masih tidak ambil iktibar tragedi Highland Towers


Antara anggota Projekt OFO, dari kiri Amri, Armi, Fauzy dan Kamaruddin -Sumber gambar Projekt OFO

Selain itu, katanya, maklumat lain mengenai mereka juga boleh diperoleh daripada laman web http://www.ofo.my.

Kondominium Highland Towers yang dibina pada tahun 1974 dan mula diduduki penghuninya tujuh tahun kemudian menjadi pilihan orang ramai kerana lokasinya yang terletak di lereng bukit dan dikelilingi kehijauan hutan.

Tanggal 11 Disember, 1993, bangunan Blok 1 kondominium tersebut yang terletak di Taman Hillview, Hulu Klang itu tumbang jam 1.35 petang.

Runtuhnya bangunan 12 tingkat itu dalam masa tidak sampai lima minit menyebabkan 48 penghuni blok berkenaan terkorban manakala hanya tiga mangsa sahaja yang berjaya dibawa keluar daripada runtuhan.


BACA: Selepas 21 tahun, semua pihak masih belum cukup sedar - Dr. Ibrahim Komoo

Terdahulu, Ketua Kluster Alam Sekitar dan Sumber Asli, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, masyarakat, pemaju perumahan dan kerajaan disifatkan masih belum cukup sedar dan mengambil teladan selepas tragedi hitam runtuhan sebuah blok kondominium Highland Towers.

Katanya, walaupun isu itu masih belum selesai sepenuhnya, usaha pihak berkenaan untuk membendung kejadian sama di lokasi lain dilihat masih belum memuaskan.