MATARAM : Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Mataram menggunakan dron dengan teknologi pengesan haba untuk menjejaki pendaki dari Rusia, Mordovina Alexandra yang hilang ketika mendaki Gunung Rinjani secara haram, lapor Agensi Berita Indonesia (Antara).

"Sejak Jumaat, kami menjalankan pencarian di laluan pendakian Senaru," kata ketua pasukan SAR Mataram, Wahyu di sini pada Ahad.

"Terdapat dua titik yang dipantau dari udara, iaitu sekitar Puncak Sangkareang dan Lembah Santong," katanya.

Tiada sebarang petunjuk berhubung keberadaan mangsa selepas pemeriksaan di beberapa lokasi yang disyaki setakat ini.

Pencarian masih diteruskan oleh pihak Taman Nasional Gunung Rinjani, Tentera Nasional Indonesia (TNI), dan Polis Negara Indonesia (Polri), dengan bantuan daripada rakan-rakan mangsa.

"Mangsa tidak berada di penginapannya di Senaru, Lombok Utara, sejak 30 Ogos dan disyaki hilang semasa mendaki," kata Wahyu.

Alexandra dianggar memulakan pendakian pada 30 Ogos sekitar 4 pagi selepas memaklumkan kepada rakan-rakannya melalui WhatsApp.

Dengan pembentukan pasukan SAR bersama, wanita Rusia berusia 44 tahun itu diharap dapat ditemukan segera.

Jika dalam tempoh empat hari mangsa masih belum dijumpai, pasukan itu akan melakukan penilaian, penyelarasan dan komunikasi dengan pihak berkaitan untuk menentukan langkah seterusnya bagi mencari wanita hilang itu.

-- BERNAMA