Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, mereka yang dipanggil termasuk anggota yang mengawal rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pengawal pos bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini masih belum ada sebarang tangkapan dibuat dan polis akan merakam percakapan lagi, termasuk di kalangan banduan.
“Kita sedang menyiasat lah, siapa kah yang terlibat daripada luar di luar sana yang mengirimkan dron itu, siapakah yang bakal menerima di dalam lokasi penjara itu.
“Setakat ini kita belum boleh mengagak sesiapa yang terlibat dalam kes ini.
“Selain daripada itu, saya ingin menyatakan bahawa di Penjara Tapah Road ini pernah berlaku beberapa kali rampasan dadah yang dibuat di penjara,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal yang dijalankan mendapati, kawasan penjara berkenaan dilengkapi dengan CCTV bagi mengawal keselamatan dan pergerakan.
Bagaimanapun, katanya, semasa kejadian itu berlaku, CCTV terbabit tidak dapat mengesan kehadiran dron kerana ia diterbangkan terlalu tinggi.
Azizi berkata, berdasarkan rekod sejak 2022, telah berlaku beberapa kes membawa masuk dadah ke Penjara Tapah yang melibatkan tangkapan banduan dan rampasan dadah antaranya heroin, methamphetamine dan pil yaba.
"Bawa dadah masuk ke penjara bukan pertama kali, tetapi yang melibatkan dron jatuh, ini pertama kali dijumpai di situ.
"Kita tak tahu, mungkin sudah ada kes yang berjaya masuk, cuma kali ini mereka gagal dan berjaya dikesan," ujarnya.
Pada 9 Ogos lepas, taktik licik pengedar cuba menyeludup dadah dengan menggunakan dron ke Penjara Tapah di sini gagal selepas peralatan itu ditemukan petugas penjara semasa membuat rondaan.
Azizi dilaporkan berkata petugas penjara menemukan beg digantung pada dron di atas bumbung blok banduan di penjara tersebut.
Menurutnya dalam beg tersebut terdapat satu plastik berisi tiga peket serbuk putih disyaki heroin seberat 122 gram dan dua peket plastik berisi ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 12.9 gram.