PUTRAJAYA: "Doakan agar kebenaran sentiasa ditegakkan dan keadilan terus terpelihara."


Ringkasan AI
  • Beliau menyerahkan nasibnya kepada Allah dan yakin dengan hujahan serta bukti yang dibentangkan oleh pasukan pembelaannya.
  • Syed Saddiq memohon agar semua pihak mendoakan yang terbaik untuknya sepanjang prosiding berjalan.
  • Syed Saddiq menghadapi rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, serta denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Armada.


Demikian reaksi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika mengulas lanjut berkaitan hari kedua prosiding rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis.

Menurut Syed Saddiq, beliau yakin dengan hujahan serta maklum balas yang diberikan oleh pasukan pembelaannya.

"Saya penuh harapan dan optimis serta menyerahkan segala urusan dan nasib saya kepada Allah.

"Saya juga percaya kepada fakta dan bukti yang telah dibentangkan dan akan dipertimbangkan oleh para hakim yang arif," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pekarangan lobi Kompleks Mahkamah Putrajaya pada Khamis.

Dalam pada itu, Syed Saddiq memohon agar semua pihak mendoakan yang terbaik untuknya sepanjang prosiding berjalan.

"Saya hanya memohon kepada sahabat-sahabat, baik lelaki mahupun perempuan, serta semua yang hadir di sini, untuk menegakkan kebenaran dan memastikan keadilan terpelihara.

Itulah permohonan dan harapan saya. Terima kasih dan insya-Allah, kita akan bertemu lagi selepas kes ini selesai," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Muar itu dilihat bersemangat ketika hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya kira-kira jam 10.20 pagi dan sempat menegur petugas media yang berkumpul di mahkamah.

Turut kelihatan selebriti Bella Astillah yang turut hadir memberi sokongan kepada Syed Saddiq.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Amira Aisya Abdul Aziz yang juga pemangku Presiden MUDA sebagai tanda sokongan kepada bekas Presiden parti berkenaan.

Syed Saddiq sebelum ini disabitkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, serta denda RM10 juta atas empat pertuduhan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.

Prosiding rayuan ini merupakan peringkat kedua pengadilan. Sekiranya didapati bersalah, Syed Saddiq masih mempunyai peluang untuk membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, jika panel hakim mendapati keputusan Mahkamah Tinggi tidak dapat dikekalkan, beliau akan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan. - Sinar Harian